52,050 liter diesel subsidi dirampas

Oleh: Sumayyah Rihanna

KOTA KINABALU: Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah 4 Sabah meneruskan usaha membanteras penyelewengan bahan bakar subsidi apabila berjaya merampas 52,050 liter minyak diesel dalam satu serbuan di Kampung Kibabaig, malam tadi.

Operasi pada pukul 10.30 malam itu dijalankan Unit Risik Marin bersama UNGGERIN selepas hasil risikan mendapati sebuah stor dijadikan pusat penyimpanan dan pemindahan minyak diesel secara haram.

Komander PPM Wilayah 4 Sabah, ACP Mohd Nazri Ibrahim berkata kes disiasat di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 dan menegaskan pihaknya tidak akan berkompromi dengan mana-mana individu yang cuba mengaut keuntungan melalui penyelewengan subsidi.

“Dalam serbuan itu, polis turut merampas beberapa kenderaan yang dipercayai digunakan untuk aktiviti penyeludupan serta menahan lima lelaki tempatan berusia 22 hingga 42 tahun.

“Jumlah keseluruhan rampasan dianggarkan bernilai RM571,057.50,” katanya. 

Beliau turut menyeru orang ramai menyalurkan maklumat berhubung kegiatan menyalahi undang-undang bagi membantu pihak berkuasa mengekang jenayah penyeludupan.

Tinggalkan komen