Hari Kebangsaan wadah penyatuan, kekal kebersamaan untuk isu keadilan

Oleh: Zacherlyn Ad

KOTA KINABALU: Ketua Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) Bahagian Darau, Datuk Mohammed Razali Razi menyeru semua pihak dan masyarakat untuk kekal bersatu dalam semangat Hari Kebangsaan dan terus bersama berjuang untuk menuntut keadilan, tanpa berpecah-belah.

“Hari Kebangsaan perlu dijadikan wadah penyatuan rakyat, bukannya medan perpecahan meskipun berdepan dengan pelbagai isu yang dibangkitkan masyarakat.

“Ini termasuk slogan “No Justice, No Merdeka” yang kini hangat diperkatakan,” katanya. 

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita semasa sidang media selepas program pengagihan Jalur Gemilang di pekan Manggatal, di sini, hari ini.

Menurut Razali, isu keadilan yang digemakan rakyat tidak boleh dipandang remeh, namun semangat kebersamaan pada Hari Kebangsaan perlu dipelihara.

“Kita faham ada isu-isu besar yang sedang dibincangkan, tetapi jangan sampai kita lupa tanggungjawab kita sebagai rakyat Malaysia. 

“Hari Kebangsaan adalah hari penting untuk kebersamaan, jangan kita alih fokus sehingga hilang erti sebenar kemerdekaan,” katanya lagi.

Dalam pada itu, Razali turut mengulas berkenaan kontroversi pemasangan Jalur Gemilang secara terbalik di Semenanjung Malaysia baru-baru ini.

Katanya, Sabah menampilkan suasana berbeza kerana masyarakat negeri ini mengamalkan keharmonian dalam kepelbagaian.

“Di Sabah kita hormati kepelbagaian, dan bila ada hormat itu, barulah perpaduan tercapai.

“Orang Sabah adalah cerminan Malaysia sebenar kerana walaupun kita berbilang kaum, bangsa dan agama, kita tetap hidup dalam suasana harmoni,” jelasnya.

Selain itu, Razali juga menegaskan bahawa budaya toleransi dan semangat perpaduan yang sekian lama diamalkan di Sabah wajar dijadikan teladan seluruh rakyat Malaysia.

“Ini penting untuk kita memastikan makna kemerdekaan tidak dicemari dengan perselisihan yang boleh memecahbelahkan rakyat,” ujar beliau lagi.

Tinggalkan komen