CIS sumbang RM100 ribu untuk YKS, bukti sokong usaha kebajikan 

Oleh: Zacherlyn Ad

KOTA KINABALU: Cement Industries (Sabah) Sdn. Bhd. (CIS) menyampaikan sumbangan bernilai RM100 ribu kepada Yayasan Kebajikan Sabah (YKS) sebagai usaha menyokong aktiviti kebajikan masyarakat di Sabah.

Pengerusi CIS, Datuk Japlin Akim berkata CIS sentiasa mahu memfokuskan kepada usaha melaksanakan tanggungjawab sosial korporat (CSR) dengan berkongsi kepada badan kebajikan untuk manfaat komuniti.

“Hari ini dengan majlis ringkas sebegini, CIS berkongsi rezeki melalui CSR kami dengan YKS dan ini adalah sebahagian daripada komitmen CIS untuk menyokong usaha membantu masyarakat,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menyerahlan sumbangan tersebut kepada Pengarah YKS, Datuk Diyanah Abdullah di Menar Kinabalu, di sini, hari ini.

Menurut Japlin semasa berucap, CIS juga sentiasa peka terhadap keperluan komuniti dan akan terus memainkan peranan penting dalam membantu meningkatkan kesejahteraan rakyat negeri Sabah.

“CIS bukan sahaja komited dalam membangunkan industri pembinaan negeri, tetapi juga sentiasa memberi perhatian kepada aspek kebajikan dan kesejahteraan masyarakat.

“Sumbangan ini diharap dapat membantu YKS dalam melaksanakan pelbagai program kebajikan untuk manfaat rakyat Sabah,” katanya lagi.

Hadir sama dalam semasa majlis penyerahan tersebut ialah Pengurus Besar CIS Sumardi Mohd Yusuf dan Pengurus Kanan Sumber Manusia Ezrie Ag Raini. 

Tinggalkan komen