Oleh: Sumayyah Rihanna
LAHAD DATU: Sebutir bom lama jenis Unexploded Ordnance (UXO) Aerial Bomb dipercayai tinggalan Perang Dunia II berjaya dimusnahkan di tebing Sungai Segama, Kampung Batu 8, di sini.
Ketua Polis Daerah Lahad Datu, ACP Dzulbaharin Ismail berkata, bom itu ditemui orang awam pada 24 Ogos lalu sebelum siasatan mengesahkan ia masih aktif.
“Operasi pemusnahan dijalankan jam 11.33 pagi tadi oleh Unit Pemusnah Bom (UPB) IPK Sabah dengan bantuan UPB IPD Lahad Datu serta beberapa pasukan lain. Bom dimusnahkan menggunakan kaedah Low Order dengan bahan letupan khas,” katanya.
Beliau menambah, operasi berjalan lancar tanpa sebarang kecederaan atau kerosakan, dengan penglibatan empat pegawai dan 17 anggota polis.
