Oleh: Sumayyah Rihanna
KUNAK: Hampir RM1.5 juta nilai keseluruhan rampasan akibat kegiatan penyelewengan minyah sawit mentah (CPO) dirampas pihak berkuasa dalam sebuah operasi bersepadu, kelmarin.
Usaha Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah 4 Sabah dengan kerjasama Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) yang menjalankan serbuan pada pukul 2.30 petang itu membawa kepada penemuan 23.9 metrik tan CPO yang disembunyikan di sebuah premis dijadikan stor pengumpulan haram.
Komander PPM Wilayah 4 Sabah, ACP Mohd Nazri Ibrahim berkata, selain merampas bahan terbabit, pihaknya turut menyita beberapa kenderaan yang dipercayai digunakan untuk aktiviti penyelewengan tersebut.
“Dua lelaki tempatan berusia 25 hingga 38 tahun ditahan bagi membantu siasatan.
“Nilai keseluruhan rampasan termasuk kenderaan dianggarkan RM1.15 juta,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Kes disiasat mengikut Peraturan-Peraturan Lembaga Minyak Sawit Malaysia.
Menurutnya, PPM Wilayah 4 Sabah sentiasa berusaha membanteras aktiviti penyeludupan dan penyelewengan minyak sawit yang memberi kerugian kepada negara.
“Kami menyeru orang ramai agar terus menyalurkan maklumat mengenai sebarang kegiatan jenayah supaya tindakan segera dapat diambil,” katanya.
