Oleh: Zacherlyn Ad
TONGOD: Kawasan Konservasi Kanyon Imbak kini meluaskan peranan dan usaha dalam memberi pendidikan dan pengetahuan meluas berkenaan alam semulajadi khususnya kepada para pelajar pelbagai peringkat umur dan guru-guru.
Pengarah Kumpulan Yayasan Sabah (KYS), Datuk Gulamhairdar @ Yusof Khan Bahadar berkata Pusat Pembelajaran Kanyon Imbak diwujudkan bagi melestarikan usaha pendidikan luar bilik darjah secara menyeluruh, khasnya berkaitan usaha konservasi hutan hujan tropika terpenting dalam negara.
“Pusat Pembelajaran Kanyon Imbak dilengkapi dengan pelbagai kemudahan yang bersesuaian untuk tujuan pendidikan dan pembangunan insan kerana lokasi ini, yang terletak di tengah-tengah jantung Sabah, berperanan bukan sahaja sebagai benteng biodiversiti dan zon perlindungan semula jadi, malah juga sebagai tapak penyelidikan, ekopelancongan dan pendidikan berasaskan alam sekitar.
“Kita ada Kompleks Pendidikan Alam Sekitar dengan kemudahan bilik darjah dan makmal, dewan mesyuarat dan dewan makan, chalet, hostel dan rumah penginapan untuk pelawat, makmal lapangan untuk aktiviti penyelidikan saintifik, galeri biodiversiti yang menampilkan spesies flora dan fauna unik.
“Selain itu, di sini juga terdapat kemudahan teater mini dan perpustakaan, padang sukan dan dewan, dan paling penting adalah denai hutan untuk aktiviti interpretasi alam sekitar serta tapak perkhemahan dan zon aktiviti lapangan,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam teks ucapan yang disampaikan oleh Pengurus Kumpulan Bahagian Konservasi dan Pengurusan Alam Sekitar, KYS, Dr. Waidi Sinun ketika hadir merasmikan Program Orientasi Alam dan Ilmu di Pusat Pembelajaran Kanyon Imbak, di sini, baru-baru ini.
Menurut beliau, usaha berterusan KYS melalui pusat pembelajaran itu adalah lebih daripada sekadar lawatan sambil belajar dan mampu menyokong pelaksanaan pelbagai bentuk program pendidikan luar bilik darjah yang berstruktur dan menyeluruh.
“Antaranya yang berkait rapat adalah menerusi program pendidikan alam sekitar, penyelidikan ekologi dan pemantauan data alam, kem kepimpinan dan pembinaan sahsiah diri, program warisan budaya dan komuniti, dan program ekopelancongan termasuk pembangunan lestari,” katanya lagi.
Tambahnya, program itu juga dilaksanakan sebagai usaha untuk memberi pendedahan awal mengenai kemudahan pembelajaran berasaskan alam.
“Ramai pelajar dan pendidik tidak mengetahui bahawa kita memiliki kemudahan bertaraf dunia seperti Kanyon Imbak.
“Melalui program ini, sekolah dapat merancang lawatan, kem motivasi, aktiviti kokurikulum, dan modul pendidikan alam secara lebih berstruktur.
“Pastinya, melalui program ini juga, kita dapat meningkatkan kesedaran terhadap usaha pemuliharaan dengan menyaksikan sendiri usaha pemeliharaan yang dilakukan oleh pihak pengurusan kawasan konservasi, sekaligus membina nilai serta jati diri para pelajar,” jelasnya.
Selain itu, beliau turut menyeru kepada pihak pentadbiran sekolah agar memanfaatkan sepenuhnya peluang yang ditawarkan oleh fasiliti Kanyon Imbak dengan merangka dan mengadakan pelbagai aktiviti bersama pelajar di sana.
“Pihak sekolah digalakkan untuk merangka lawatan berkala, perkhemahan pendidikan, serta program integrasi kokurikulum yang menjadikan alam semula jadi sebagai kelas terbuka.
“Ini sejajar dengan aspirasi Kementerian Pendidikan untuk memperkukuh pendekatan pembelajaran berasaskan pengalaman dan saya percaya bahawa dengan perancangan yang teliti, kawasan ini boleh dijadikan sebagai Tapak Satelit Pendidikan Alam Sekitar Negeri Sabah, khususnya bagi sekolah-sekolah daripada kawasan pedalaman yang berpotensi besar untuk menyertai program seperti ini secara berperingkat,” katanya.
Dalam pada itu, beliau berkata Kanyon Imbak juga mempunyai potensi untuk dibangunkan dari sudut ekonomi komuniti secara beretika dan lestari.
“Ini penting untuk impak sosial dan ekonomi setempat kerana setiap yang dilakukan perlu dilihat dalam kerangka yang lebih luas, bukan sahaja dari sudut pendidikan dan konservasi, tetapi juga pembangunan ekonomi komuniti.
“Program-program berasaskan alam semula jadi ini boleh menjadi asas kepada pengembangan pelancongan pendidikan yang secara langsung menyumbang kepada pendapatan penduduk setempat serta meningkatkan kesedaran terhadap pemuliharaan,” ujar beliau lagi.
Lebih 60 pelajar dari 11 buah sekolah sekitar daerah Tongod dan Telupid, menyertai program yang berlangsung selama tiga hari dua malam itu, bermula 22 Ogos hingga 24 Ogos.
Pelbagai aktiviti menarik dilaksanakan bagi mengisi jadual pembelajaran para peserta khasnya berkaitan pendidikan alam semulajadi khasnya berkaitan flora dan fauna.
