Tunaikan janji perjuang 40 peratus hasil negeri untuk rakyat: Suhaimi

KOTA KINABALU: Ahli Parlimen Libaran, Datuk Suhaimi Nasir menegaskan bahawa tuntutan hak 40 peratus hasil negeri perlu dibuat dengan bersungguh-sungguh.

“Hingga saat ini belum ada satu langkah konkrit untuk isu ini dan rakyat perlu diberi penjelasan,” katanya. 

Beliau berkata demikian dalam sebuah kenyataan media, di sini, hari ini.

Menurut beliau, Ketua UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin pernah mencadangkan pelantikan penaksir bebas bagi menyelesaikan isu tersebut pada 7 Mac 2024.

“Walau bagaimanapun usaha ini tidak dapat direalisasikan kerana tiada rundingan berfasa dan penaksir bebas juga tidak berhasil kerana ada pihak yang menjadikan ini sebagai propaganda.

“Pada 13 Mac 2025, mesyuarat teknikal MA63 di Putrajaya menetapkan rundingan rasmi pada 30 Jun 2025 dan Julita Majungki dengan penuh yakin menegaskan penaksir bebas mesti dilantik jika gagal. 

“Tetapi pada tarikh itu, mesyuarat tidak pernah berlangsung dan Jeffrey Kitingan sendiri mengaku tidak dijemput bukti kepimpinan negeri lemah dan hilang maruah,” katanya lagi.

Jelas beliau juga, sehingga kini masalah berkaitan hak 40 peratus yang perlu dijelaskan kepada rakyat masih menemui jalan buntu.

“Tiada data, tiada penaksir bebas, tiada hasil dan yang ada hanyalah beri alasan 12 September akan membuat perbincangan dan ‘gula-gula’ interim yang dijanjikan akan dinaikkan kepada RM600 juta, digembar-gemburkan sebagai kejayaan sedangkan hak sebenar rakyat Sabah jauh lebih besar daripada suapan kecil itu,” katanya. 

Tambah beliau, hal itu lebih menjadi lebih parah berikutan Timbalan Ketua Menteri, Datuk Ir Shahelmey Yahya menyeru agar pentadbiran kerajaan sedia ada diteruskan.

“Apa yang dinyatakan oleh Shahelmey adalah cubaan menipu rakyat sekali lagi dengan retorik basi kononnya kerajaan perlu dikekalkan dan diberikan mandat untuk pilihan raya akan datang.

“Dia jelaskan begitu dengan alasan agar  agihan 40 peratus hasil Sabah dapat diteruskan.

“Soalnya mudah, kalau sekarang pun gagal, apa lagi selepas PRN? Rakyat Sabah tidak bodoh, jangan cuba memperbodohkan mereka di dalam dewan mulia dan di medan pilihan raya,” jelasnya lagi.

Tambah Suhaimi, pemimpin sedia ada perlu melaksanakan janji dan apa yang diperlukan oleh rakyat.

“Apa yang dinyatakan, perlu dikotakan untuk rakyat kerana jika itu sekadar janji, maka itu adalah bukti penipuan dalam politik.

“Bak kata pepatah, ‘menanti bulan jatuh ke riba’, ini yang berlaku sekarang. 

“Tolong kotakan janji kerana rakyat sedang menuntut dan rakyat berhak untuk bertanya dan diberikan penjelasan berkenaan hasil 40 peratus itu,” tambah Suhaimi lagi.

Tinggalkan komen