Oleh: Sumayyah Rihanna
SANDAKAN: Seorang wanita berusia 62 tahun meninggal dunia selepas dilanggar sebuah kenderaan pacuan empat roda jenis Isuzu DMax ketika melintas jalan di Jalan Batu Sapi, di sini, malam tadi.
Kejadian berlaku sekitar pukul 7.15 malam ketika mangsa dipercayai melintas dari arah kanan ke kiri, sebelum dirempuh kenderaan dipandu seorang lelaki tempatan berusia 31 tahun yang dalam perjalanan dari pusat bandar Sandakan ke Taman Mawar.
Ketua Polis Daerah Sandakan, Asisten Komisioner George B. Abd Rakman berkata, pemandu tidak sempat menekan pedal brek kerana jarak yang terlalu dekat lalu melanggar mangsa di bahagian kanan jalan.
“Impak perlanggaran menyebabkan mangsa tercampak ke lorong sebelah kiri jalan dan mengalami kecederaan parah di kepala sebelum disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.
“Mayat mangsa dibawa ke Unit Forensik Hospital Duchess of Kent, Sandakan untuk proses bedah siasat,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan menasihati orang awam agar lebih berhati-hati ketika menggunakan jalan raya bagi mengelakkan tragedi sama berulang.
