Debat Piala Presiden UPKO medan belia berprinsip dan progresif

Oleh: Sumayyah Rihanna

KOTA KINABALU: Pasukan Dharma D’Gaya dari Institut Pendidikan Guru (IPG) Kampus Gaya muncul juara Pertandingan Debat Piala Presiden Upko yang berlangsung di Dewan Auditorium Pascasiswazah, Universiti Malaysia Sabah (UMS).

Pasukan yang dianggotai Ezmal Padu, Nur Aisyah Aqilah Irwan, Said Yasser dan Nurul Syahirah Sabaruddin itu membawa pulang hadiah wang tunai RM3,000, piala dan sijil.

Hadiah disampaikan oleh Presiden UPKO merangkap Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Ewon Benedick pada majlis penutupan.

Naib juara dimenangi pasukan RhetoriGoats dari UMS yang diwakili Siti Nadjazuldina, Umair Sarip, Ahmad Faiz Zakwan dan Mohamad Fazli Losimin, sekali gus membawa pulang RM2,000, piala dan sijil.

Tempat ketiga pula disandang pasukan Tiga Serangkai Bersatu dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) menerusi penyertaan Muhammad Syakhir Ifwat Haji Abdul Karim Dakog, Ninexsionre Sulani dan Chin Guan Rong dengan hadiah RM1,500.

Pasukan UiTM Cawangan Sabah diwakili Mohammad Syafiq Amir, Siti Nurfazuanie Redzuan, Amisha Elyana Isnain dan Maslina Jeferydin pula menduduki tempat keempat, menerima RM1,000.

Enam pasukan lain turut menerima saguhati bernilai RM500 setiap pasukan.

Selain muncul juara, Ezmal Padu turut dinobatkan sebagai Pendebat Terbaik. 

Beliau menyifatkan pertandingan itu sebagai platform penting meningkatkan literasi belia terhadap dasar kerajaan dan isu semasa.

“Pertandingan seperti ini wajar diteruskan kerana ia membantu belia, khususnya di Sabah, mendalami isu-isu semasa serta mengasah kemampuan kepimpinan,” katanya.

Seorang lagi peserta, Said Yasser, berkata pengalaman pertama menyertai debat itu cukup bermakna dan berharap ia dijadikan acara tahunan.

Pertandingan yang berlangsung sejak 22 Ogos itu disertai 10 pasukan dengan 40 peserta, bersempena sambutan Bulan Kemerdekaan.

Acara itu bertujuan bagi memupuk semangat patriotik, meningkatkan pengetahuan isu semasa, serta mengasah bakat kepimpinan dan kemahiran berhujah.

Presiden Persatuan Etnik Idahan Sabah (PEIS), Abdul Karim Dakog turut menzahirkan rasa bangga atas pencapaian anaknya dan menyifatkan pertandingan ini merupakan satu medan yang mampu meningkatkan keupayaan berfikir, berkomunikasi dan menyampaikan sesuatu isu dalam suasana yang menarik kepada para peserta.

“Syukur alhamdulillah anak saya Muhammad Syakhir Ifwat Abdul Karim dari Jurusan Sains Politik, Fakulti Sains Sosial Dan Kemanusiaan, Universiti Kebangsaan Malaysia, Bangi, Selangor telah meraih tempat ketiga dalam pertandingan ini sekaligus juga membawa nama PEIS ke persada dunia debat,” katanya.

Tinggalkan komen