Oleh: Sumayyah Rihanna
SANDAKAN: Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah 4 Sabah sekali lagi berjaya menumpaskan kegiatan penyeludupan apabila merampas rokok seludup dan minyak haram bernilai hampir RM360,000 dalam dua operasi berasingan di daerah ini.
Dalam serbuan pertama di sebuah rumah di Taman Indah Jaya, Batu 4, Sandakan pada pukul 8.30 malam tadi, pasukan PPM Sandakan bersama Unit Gempur Marin menemui sebanyak 90,800 batang rokok disorokkan di dalam bekas plastik.
Seorang lelaki tempatan berusia 29 tahun ditahan untuk siasatan lanjut, manakala nilai rampasan dianggarkan mencecah RM129,618.
Kes disiasat mengikut Akta Kastam 1967.

Sementara itu, dalam operasi lain, Unit Risikan Markas PPM Wilayah 4 menyerbu sebuah gudang minyak haram di Jalan Batu 27.
Serbuan itu berjaya mematahkan cubaan memindahkan minyak dari tong simpanan sementara ke dalam lori tangki dipercayai untuk diedarkan kepada sindiket.
Dua lelaki tempatan berusia antara 26 hingga 66 tahun diberkas dan nilai rampasan dianggarkan berjumlah RM228,935.
Kes tersebut disiasat di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961.
Komander PPM Wilayah 4 Sabah, ACP Mohd Nazri Ibrahim berkata, kerjasama orang awam amat penting dalam membantu pihak berkuasa mengekang aktiviti penyeludupan yang merugikan negara.
“PPM Wilayah 4 Sabah sentiasa komited membanteras jenayah penyeludupan bagi memastikan keselamatan dan kesejahteraan masyarakat terus terjamin,” ujar beliau lagi.
