Oleh: Sumayyah Rihanna
LAHAD DATU: Seorang bayi lelaki cukup sifat ditemui masih hidup di sebuah kebun sawit di Kampung Sri Aman, Jalan Silam, di sini, pagi tadi, dipercayai ditinggalkan oleh ibunya.
Ketua Polis Daerah Lahad Datu, Asisten Komisioner Dzulbaharin Ismail, berkata penemuan itu berlaku kira-kira pukul 8 pagi sebelum bayi berkenaan dibawa ke Hospital Lahad Datu untuk rawatan lanjut.
Menurutnya, kes disiasat di bawah Seksyen 317 Kanun Keseksaan yang boleh membawa hukuman penjara sehingga tujuh tahun atau denda, atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.
“Polis meminta kerjasama orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat agar menghubungi Pegawai Penyiasat, Inspektor Mohd Damsa Dahlan di talian 089-881255 atau tampil ke balai polis berhampiran,” katanya.
Beliau menegaskan pihaknya akan memastikan suspek terbabit dikesan segera bagi membantu siasatan.
