Pastikan laporan tepat, beretika dan peka: MMM

Oleh: Zacherlyn Ad

KOTA KINABALU: Semua pihak yang bertanggungjawab dalam membuat liputan berkaitan kes Zara Qairina digesa untuk terus memegang tanggungjawab dan amanah dengan memastikan laporan dibuat secara tepat, beretika dan penuh kepekaan.

“Majlis Media Malaysia (MMM) memandang serius perkembangan terkini berkaitan liputan kes Zara Qairina kerana kes ini melibatkan seorang kanak-kanak, media mempunyai tanggungjawab yang lebih besar.

“Kami juga bimbang dengan laporan daripada Persatuan Wartawan Sabah (SJA) semasa sidang media inkues kes Zara Qairina baru-baru ini.

“Wartawan berhak untuk mempunyai ruang dan bekerja dengan  selamat dan tanpa gangguan,” katanya dalam sebuah kenyataan media, di sini, hari ini.

Menurut kenyataan itu juga, adalah tidak wajar untuk timbul pihak yang tidak bertanggungjawab yang mengancam keselamatan wartawan semasa bekerja membuat liputan di lokasi.

“Berdasarkan makluman SJA, individu yang tidak bertauliah telah memasuki zon media, berdiri terlalu dekat dengan wartawan wanita, mengganggu liputan, dan kemudian menjana keuntungan melalui siaran langsung tidak rasmi.

“Perkara ini membahayakan keselamatan wartawan, menjejaskan laporan profesional, serta mengelirukan orang awam,” katanya lagi.

Selain itu, MMM turut mengingatkan semua organisasi media dan pengamalnya agar berpegang kepada etika kewartawanan dan tidak melanggar undang-undang semasa membuat pelaporan berita kanak-kanak.

“Kanak-kanak tidak boleh dijadikan bahan liputan sensasi, soal siasat yang melampau, atau pendedahan yang boleh membawa kepada trauma atau bahaya tambahan. 

“Dalam kes buli serta inkues yang melibatkan individu bawah umur, maruah, privasi dan keselamatan kanak-kanak mesti sentiasa diutamakan, selaras dengan hak mereka untuk mendapat perlindungan penuh di bawah Akta Kanak-Kanak 2001 (Akta 611).

“Kami menggesa para editor dan wartawan supaya mematuhi sepenuhnya kod etika kewartawanan dan prinsip perlindungan kanak-kanak, termasuk tidak menyiarkan butiran yang boleh mengenal pasti atau memberi stigma kepada mangsa dan keluarga,” jelasnya.

Dalam pada itu, MMM turut meminta agar pelaporan berita yang dilaksanakan sentiasa kekal dengan objektif utama, iaitu melaporkan fakta yang sahih.

“Laporan yang bertanggungjawab harus menekankan aspek keadilan dan kepentingan awam, bukan eksploitasi atau keuntungan.

“MMM menyeru semua media agar berlapang dada, berdisiplin dan profesional dalam melaporkan kes ini, dan menegaskan bahawa kewartawanan beretika adalah satu-satunya jalan untuk melindungi golongan rentan serta menjaga integriti profesion kewartawanan,” ujar kenyataan itu lagi.

Tinggalkan komen