LAPORAN KHAS
Oleh: Sumayyah Rihanna
LAHAD DATU: “Bagi saya, pengurusan dan pentadbiran bukan sekadar duduk di pejabat meluluskan projek, tetapi turun padang, dengar sendiri keluhan rakyat, dan pastikan setiap tindakan memberi manfaat sebenar kepada mereka,” kata mantan Pegawai Daerah Lahad Datu, Dr. Mohammad Ayub Yakub, ketika ditemui dalam satu perbualan santai mengenai pengalamannya memimpin daerah ini sebanyak dua kali, iaitu pada 2018-2020 dan 2021-2022.
Anak jati daerah itu yang kini berusia 63 tahun ini turut berkongsi pengalaman dan kisah perjalanan beliau sepanjang memimpin daerah Lahad Datu.
Nama beliau amat dikenali dan tidak asing lagi dalam perkhidmatan awam di Sabah.
Beliau berkelulusan Doktor Falsafah (DBA/PhD) dalam Pentadbiran Perniagaan (Pengurusan Korporat) dari Universiti tempatan.
Beliau juga pernah berkhidmat di Jabatan Imigresen Malaysia (Sabah), Jabatan Perkhidmatan Awam Negeri Sabah, Jabatan Tanah dan Ukur, serta Institut Latihan Sektor Awam Negeri (INSAN) Jabatan Ketua Menteri Sabah, sebagai Timbalan Pengarah (Trainer/Penceramah Kanan)
Mengimbas pencapaiannya, Mohammad Ayub juga menyebut antara yang paling bermakna ialah menyelesaikan projek pencawang elektrik yang terbengkalai sejak 2014, membolehkan ribuan penduduk kampung2 di kawasan DUN segama dan Silam khasnya menikmati bekalan elektrik, pemutihan penghuni PPRT bagi mengelak penyewaan haram, pembinaan masjid baharu, dan menaik taraf jalan-jalan rosak di sekitar Lahad Datu.
“Kalau ada projek terbengkalai, kita akan cari jalan selesaikan.
“Kita tidak mahu rakyat terpaksa menunggu bertahun-tahun. Saya percaya tindakan segera lebih memberi kepercayaan kepada penguran dan pentadbiran,” tegasnya.
Beliau turut dikenang kerana memperindahkan bangunan urusetia Pejabat Daerah Lahad Datu, mewujudkan pawagam komuniti pertama di Lahad Datu, serta menetapkan 15 Ogos setiap tahun sebagai tarikh sambutan pelayar antarabangsa yang berlabuh di Teluk Darvel.
Ketika pandemik Covid-19, beliau mengetuai Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB) daerah, mengubah status Lahad Datu daripada zon merah kepada zon hijau melalui perancangan teratur.
“Itu antara cabaran paling besar dalam kerjaya saya. Ia menguji kepimpinan, ketahanan mental, dan keupayaan “membuat keputusan pantas,” katanya.
Visinya untuk Lahad Datu jelas, bagi menjadikan daerah ini sebagai hab perdagangan dan pelancongan alam semula jadi, disokong dengan kemudahan awam moden, pengurusan bandar terancang, dan peluang ekonomi yang meluas untuk rakyat.
“Ekonomi setempat mesti hidup. Itu sebabnya kita perjuangkan Barter Trade dan pembinaan lapangan terbang baharu,” ujarnya lagi.
Di luar bidang pengurusan dan pentadbiran, Mohammad Ayub aktif dalam kerja dakwah sebagai Pengerusi Masjid Nurul Aman, Taman Aman Jaya dengan pengalaman sebagai mantan Pengerusi Badan Dakwah Daerah.
“Pembangunan fizikal penting, tetapi pembangunan rohani dan perpaduan masyarakat lebih penting untuk jangka panjang,” katanya sambil tersenyum.
Tambah beliau, buat masa ini, beliau masih menerima jemputan sebagai penceramah sembilan (resource person) di beberapa institusi pengajian tinggi dalam bidang pengurusan dan pentadbiran serta progam motivasi di jabatan kerajaan negeri dan persekutuan terutama dalam “pengurusan integriti”.
Dalam pada itu, Mohammad Ayub turut mengembangkan karier dengan melibatkan diri dalam politik.
Mohammad Ayub telah menjadi ahli UMNO sejak tahun 1991 dan berkhidmat untuk parti itu sehingga hari ini dengan menjawat beberapa jawatan namun kekangan tugas dan bagi mengelak ‘public interest’ beliau sanggup undur diri sebagai AJK UMNO Bahagian Silam pada tahun 1992-1994 bagi menumpukan tugas bakti kepada rakyat melalui perkhidmatan di jabatan kerajaan.
“Saya juga merupakan salah seorang trainer untuk program kepimpinan politik di Semenanjung dan Sabah di bawah Biro Penerangan UMNO Pusat yang diketuai oleh DS Dr. Ahmad Zahid Hamidi (KERIS 2314),” jelasnya lagi.
Menutup perbualan bersama pemberita New Sabah News, Mohammad Ayub juga menegaskan bahawa beliau bersedia terus menyumbang kepakaran untuk Lahad Datu.
“Saya sudah kenal denyut nadi daerah ini. Selagi diberi peluang, saya akan pastikan Lahad Datu bergerak ke arah yang lebih baik, maju, selamat, dan makmur,” katanya lagi.
