KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (SUHAKAM) menggesa orang awam dan pengamal media untuk melaksanakan tanggungjawab dengan mematuhi peraturan semasa membuat liputan berita mengenai pertuduhan yang akan dikenakan terhadap lima orang kanak-kanak dalam kes melibatkan arwah Zara Qairina Mahathir.
“Kami menggesa orang awam, terutamanya pihak media termasuk kanak-kanak berhak mendapat perlindungan penuh di bawah Akta Kanak-Kanak 2001 [Akta 611], termasuk sokongan berasaskan trauma, khidmat perundangan dan layanan yang
adil, identiti mereka tidak boleh didedahkan secara langsung atau tidak langsung, termasuk nama, gambar, sekolah atau sebarang maklumat yang boleh membawa kepada pengenalan diri mereka tidak boleh didedahkan kepada umum.
“Seksyen 15 Akta 611 tersebut memperuntukkan kesalahan boleh dihukum bagi mana-mana pihak yang menerbitkan sebarang maklumat yang boleh mengenal pasti kanak-kanak yang terlibat dalam prosiding mahkamah. Hukuman termasuk denda sehingga RM10,000 atau penjara sehingga 5 tahun, atau kedua-duanya sekali.
“Selain itu,Mahkamah Bagi Kanak-Kanak adalah mahkamah tertutup di bawah Seksyen 12 Akta 611 dan hanya pihak yang terlibat secara langsung dibenarkan hadir kerana privasi kanak-kanak mesti dihormati,” katanya dalam sebuah kenyataab media, di sini, hari ini.
Jelas kenyataan itu, fokus utama SUHAKAM adalah untuk mencegah daripada berlakunya stigma terhadap kanak- kanak yang terlibat.
“Kami ingin mengingatkan orang awam bahawa perbuatan membuli, sama ada di sekolah mahupun dalam talian, sama sekali tidak boleh diterima.
“Platform media sosial seperti Facebook, Instagram dan TikTok digesa untuk mengemaskini dasar dalaman serta piawaian komuniti mereka bagi mengenal pasti dan memadam secara proaktif apa- apa kandungan yang melanggar Seksyen 15 Akta 611.
“Sebarang kandungan yang diterbitkan dan boleh mengenal pasti kanak-kanak berpotensi menambah mudarat kepada mereka, sama ada secara tidak sengaja atau berniat jahat. Untuk mengambil tindakan menurunkan kandungan hanya selepas menerima permohonan mungkin membolehkan bahan yang menyalahi undang-undang dan berbahaya tersebar secara meluas, sekali gus menggagalkan tujuan perlindungan undang-undang,” katanya lagi.
Tambah kenyataan itu lagi, kegagalan untuk bertindak segera boleh menyebabkan mudarat kepada kanak-kanak dan boleh dianggap bersubahat dalam pendedahan yang menyalahi undang-undang.
“Keadilan perlu dilaksanakan mengikut prinsip hak kanak-kanak dan kedaulatan undang-undang,” ujar kenyataan itu.
