Hormati tugas pengamal media, lapor berita sahih dengan etika: SJA

Oleh: Zacherlyn Ad

Mariah

KOTA KINABALU: Presiden Persatuan Wartawan Sabah (SJA), Mariah Doksil memberitahu bahawa persatuan itu meminta agar semua pihak menghormati tugas pengamal media dalam membuat pelaporan berita sahih.

“Kita faham dan sentiasa memandang serius terhadap perkembangan terkini semasa liputan media kes arwah Zara Qairina.

“Kita juga tahu banyak pihak prihatin dan sangat ambil berat untuk berkongsi dan membuat perkongsian informasi berkenaan kes ini khasnya melalui platform media sosial, namun ada hal yang harus kita faham, bila sesuatu kes melibatkan polis, mahkamah, siasatan ada hal yang kita mesti pegang dan tahu, iaitu etika dalam pelaporan berita,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sebuah kenyataan media, di sini, hari ini.

Menurut Mariah, tugas pengamal media adalah tugas yang penting dan semua pihak perlu menghormati peranan pengamal media, khasnya sebagai penyampai dan penyalur maklumat, dengan identiti yang sah.

“Gangguan kandungan media bermotif keuntungan seperti yang kita boleh lihat, ada segelintir pihak yang bukan petugas media sebenar, tetapi mengganggu semasa liputan kes ini dengan memasuki zon media dan membuat penstriman langsung yang
sepatutnya untuk orang ramai.

“Lebih malang lagi, perbuatan mereka itu turut mempunyai unsur lain termasuk menjadi ruang untuk memperoleh
keuntungan wang.

“Tindakan sedemikian menjejaskan kerja hakiki wartawan dan boleh menimbulkan kekeliruan kepada orang awam,” katanya lagi.

Tambah beliau, hal seumpama itu tidak wajar untuk berlaku kerana sikap tidak tanggungjawab segelintir individu akan membawa impak besar kepada penyebaran maklumat sahih yang mengikuti etika dan tidak melanggar prinsip kewartawanan.

“Ini penting, pihak yang tidak bertanggungjawab itu juga tidak peka dan mempunyai kemahiran dalam mengulas atau membahaskan sesuatu isu kerana sebarang laporan atau perkongsian fakta dalam berita, adalah perlu disahkan dan dilaporkan dalam format laporan berita yang sepatutnya dengan etika.

“Maklumat yang salah seperti kesilapan dalam melaporkan prosiding undang- undang disebarkan secara meluas oleh sumber yang tidak disahkan serta akses kepada sidang media sepatutnya mengutamakan media berdaftar untuk memastikan laporan yang tepat.

“Selain itu, penting untuk tindakan daripada pihak berkuasa khasnya dalam memperketat dan menyemak identiti pengamal media melalui kad perakuan media yang sahih,” katanya lagi.

Selain itu, Mariah turut menyeru agar pihak berkuasa memperketat kawalan akses di kawasan larangan.

“Pihak berkuasa perlu memperketatkan kawalan akses di kawasan larangan seperti mahkamah dan melarang rakaman jika tidak dibenarkan untuk mengelak agar akses kepada media berdaftar tidak terjejas,” jelasnya.

Mariah turut menyeru semua pihak khasnya orang awam yang mengikuti perkembangan kes arwah Zara Qairina untuk menghormati piawaian kewartawanan dan
tuntutan undang-undang.

“Setiap laporan yang bertanggungjawab bukan disensasikan, tetapi yang terbaik untuk kepentingan dan keadilan awam.

“Tolong hormat skop dan ruang tugas pengamal media, baik wartawan, jurugambar mahupun jurukamera kerana kami bertugas untuk melaporkan fakta dan berita yang sebenar kepada audien di luar sana,” jelasnya.

Dalam pada itu, Mariah juga memberitahu bahawa terdapat aduan daripada wartawan wanita berkenaan ada pihak yang turut sama ‘bertugas’ semasa sesi sidang media dan mereka tidak menghormati wartawan wanita.

“Gangguan terhadap pengamal media yang kita terima baru-baru ini adalah satu hal yang amat besar dan SJA mengambil perhatian serius dengan laporan berkaitan gangguan semasa sidang media inkues kes Zara di mahkamah baru-baru ini.

“Terdapat individu yang tidak dikenali dan bukan dari kalangan wartawan agensi media yang berdaftar turut berada bersama petugas media yang berkumpul untuk membuat liputan sidang media.

“Dua wartawan wanita mengadu kedudukan badan individu terbabit terlalu rapat sehingga menyentuh mereka dan untuk ini, pihak SJA mahu aspek penguatkuasaan yang lebih ketat untuk melindungi wartawan yang
bertugas,” ujar beliau lagi.

Tinggalkan komen