Pendengaran inkues kematian Zara Qairina bermula 3 September

Oleh: Zacherlyn Ad

KOTA KINABALU: Pendengaran inkues bagi kes kematian arwah Zara Qairina Mahathir ditetapkan bermula 3 September ini.

Peguam kepada ibu arwah, Hamid Ismail memberitahu bahawa pendengaran itu akan berlangsung sehingga 30 September.

“Ini akan bermula pada 3 September dan ada beberapa hari lagi yang ditetapkan, sehinggalah 30 September dan dibuat di hadapan Hakim Azreena Aziz.

“Ada 195 saksi tapi jumlahnya akan ditentukan kemudian, Jabatan Peguam Negara akan menyusun saksi-saksi mengikut keperluan, mana yang relevan dan tidak relevan,” katanya. 

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas ditemui di perkarangan Kompleks Mahkamah Kota Kinabalu, di sini, hari ini.

Menurut beliau, pihaknya turut membuat permohonan bagi menyoal pendakwaan.

“Namun, kami diarahkan untuk memfailkan permohonan kami ini secara rasmi, dan kami akan failkan pada minggu ini juga.

“Kelak apabila permohonan kami diluluskan, kami akan bertindak sebagai ‘interested party’, sekarang status kami hanya sebagai ‘watching brief’,” katanya lagi.

Dalam pada itu, beliau turut menasihati semua pihak khususnya yang mengikuti perhimpunan solidarit yang menuntut keadilan bagi kes kematian itu.

“Bagi yang ingin bersolidariti, saya dan pasukan saya sangat sokong, cuma, ikut undang-undang, patuhi peraturan yang ditetapkan, dan jaga kebersihan.

“Jika ada yang ingin berpolitik, janganlah datang ke perhimpunan solidariti, solidariti ini adalah untuk Zara, bukan untuk mana-mana parti politik.

“Kepada penganjurnya, tolong tolak jika ada orang-orang yang ingin memberi ucapan-ucapan berunsur politik, ini tidak bagus, kita semua bersolidariti untuk Zara, bukan untuk mana-mana parti politik,” ujar beliau lagi.

Tinggalkan komen