Pelayar antarabangsa Sail Malaysia singgah di Lahad Datu

Oleh: Sumayyah Rihanna

LAHAD DATU: Kehadiran pelayar antarabangsa melalui program Sail Malaysia Passage to the East 2025 ke Lahad Datu disambut meriah dengan penganjuran Lahad Datu Cultural Festival (LDCF) 2025 di W Bay, Pantai Payang, semalam.

Pengerusi Persatuan Pelancongan Lahad Datu (PPLD), Joe Wong berkata festival itu bukan sekadar acara kebudayaan, tetapi menjadi simbol persahabatan dan semangat maritim antara komuniti tempatan dengan pelayar antarabangsa.

“Mereka bukan sekadar tetamu, tetapi hadir dengan kisah pengembaraan yang menghubungkan Lahad Datu dengan dunia luar. Kita berbangga menerima mereka dengan laut yang indah, budaya yang kaya serta keramahan masyarakat di sini,” katanya.

Acara simbolik perasmian

Majlis perasmian disempurnakan oleh Presiden Parti Maju Sabah (SAPP) merangkap Pengerusi POIC Lahad Datu, Datuk Seri Yong Teck Lee.

Dalam ucapannya, Yong memuji usaha Joe yang disifatkan berani memperkenalkan potensi pelancongan Lahad Datu.

Beliau turut mengumumkan beberapa perkembangan baharu termasuk kelulusan Zon Perdagangan Bebas bernilai RM30 juta, projek tenaga solar berkapasiti 100 gigawatt dan pelaksanaan projek Pan Borneo.

Festival berwarna-warni itu turut dimeriahkan dengan unggun api, jamuan makan malam serta persembahan kebudayaan masyarakat tempatan.

Antara barisan pelayar yang turut serta dalam pelayaran edisi ini

Edisi kali ini melibatkan 23 kapal layar dengan 57 pelayar dari 11 negara termasuk United Kingdom, Jerman, Australia, Switzerland, Singapura, New Zealand, Perancis, Amerika Syarikat, Filipina, Kuwait dan Thailand.

Selepas Lahad Datu, rombongan pelayar dijadualkan belayar ke Kunak pada 19 Ogos dengan kawalan keselamatan ESSCOM, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) dan Pasukan Gerakan Marin (PGM).

Tinggalkan komen