Jangan bawa isu luar, fokus perpaduan dan pembangunan Sabah saja: Pemuda UMNO

Oleh: Sumayyah Rihanna

KOTA KINABALU: Exco Pemuda Barisan Nasional Malaysia, Datuk Seri Dr. Anil Sandhu menyeru agar semua pihak tidak membawa isu luar yang tisak bwrkaitan dengan Sabah yang mungkin boleh menjejaskan perpaduan Sabah.

“Saya merujuk kepada kenyataan yang dikeluarkan oleh Presiden Parti Liberal Demokratik (LDP), Datuk Chin Su Phin, yang mendesak agar Ketua Pemuda UMNO dan Pemuda Barisan Nasional Malaysia ,Datuk Dr. Muhamad Akmal Saleh, dihalang daripada memasuki Sabah.

“Pertama sekali, saya ingin menegaskan bahawa isu yang dipetik berlaku di Semenanjung dan tidak ada kaitan secara langsung dengan Sabah, malah telah berlalu lebih daripada seminggu tanpa sebarang kesan ketara terhadap keamanan dan keharmonian negeri ini. 

“Maka, tidak wajar ia dibawa masuk ke dalam politik Sabah seolah-olah Sabah terlibat sama,” katanya. 

Beliau berkata demikian dalam sebuah kenyataan media di sini, hari ini.

Menurut beliau, UMNO adalah sebahagian daripada Kerajaan Madani yang sedang memacu agenda perpaduan, pembangunan dan kebajikan rakyat.

“Mengapa seorang pemimpin muda yang tegas memperjuangkan isu-isu nasional mahu diperlakukan seolah-olah pengganas yang perlu dihalang masuk ke Sabah? 

“Tindakan sebegini hanya akan menimbulkan persepsi negatif terhadap perpaduan nasional yang kita bina bersama.

“Akmal bukan sebarang figura beliau adalah seorang pejuang sejati untuk negara, jasa dan pengorbanan beliau dalam membela rakyat, terutamanya generasi muda, tidak boleh dinafikan. Daripada isu kebajikan sehinggalah suara lantang memperjuangkan kepentingan negara, sumbangan beliau sudah terbukti,” katanya lagi.

Tegasnya, isu yang sedemikian tidak dibesarkan kerana rakyat Sabah memerlukan kepimpinan yang fokus pada pembangunan, ekonomi, dan peluang pekerjaan. 

“Kita hormati suara semua parti tapi sekarang sudah tenang jadi tidak perlu memanaskan lagi isu.

“Kalau kamu tidak mahu Akmal bersuara, jadi kamu juga jangan cuba bersuara,” jelasnya.

Tambah beliau, Chin perlu memberi tumpuan kepada menjaga parti LDP sebaiknya, memperkukuhkan kepercayaan rakyat, dan bukannya mencetuskan polemik yang tidak membawa manfaat.

“Sabah tidak harus dijadikan medan untuk “politik alih isu” lebih-lebih lagi isu yang berpunca dari luar negeri ini. 

“Kita semua pemimpin ada tanggungjawab lebih besar,menjaga kestabilan politik dan mengutamakan rakyat.

“Barisan Nasional, khususnya Pemuda, kekal komited untuk bersama rakyat Sabah membina negeri dan negara dengan semangat perpaduan, bukannya dengan sekatan atau larangan yang hanya memecahbelahkan,” ujar beliau lagi.

Tinggalkan komen