Warga Malaysia ditahan cuba seludup CPMI di Nunukan

Oleh: Sumayyah Rihanna

NUNUKAN: Dua lelaki warga Malaysia ditahan pihak berkuasa Indonesia selepas didapati cuba membawa keluar empat calon pekerja migran Indonesia (CPMI) secara haram melalui perairan Nunukan, Kalimantan Timur.

Kejadian berlaku pada 14 Julai lalu apabila Satuan Tugas Pengamanan Perbatasan (Satgas Pamtas) Yonarmed 11 Kostrad bersama Satuan Gabungan Intelijen (SGI) mengesan enam individu di Dermaga Sei Ular, Nunukan.

Hasil pemeriksaan mendapati dua daripadanya adalah warga Malaysia berusia 30 dan 39 tahun, manakala empat lagi CPMI.

Menurut Ketua Pejabat Imigrasi Kelas II TPI Nunukan Adrian Soetrisno, kedua-dua suspek warga asing itu masuk tanpa dokumen perjalanan dan visa yang sah, dipercayai untuk menjemput CPMI berkenaan bagi dibawa secara tidak sah ke Malaysia.

“Empat CPMI telah diserahkan kepada Badan Perlindungan Pekerja Migran Indonesia (BP3MI) untuk perlindungan lanjut, manakala dua warga Malaysia terbabit diserahkan kepada Imigrasi untuk tindakan undang-undang.

“Mereka kini ditetapkan sebagai suspek kerana melanggar Undang-Undang Nombor 6 Tahun 2011 tentang Keimigrasian,” katanya dalam kenyataan rasmi, di sini, hari ini.

Tambah beliau, kedua-dua suspek dihantar ke Lembaga Pemasyarakatan (Lapas) Kelas IIB Nunukan pada 14 Ogos lalu dengan kawalan ketat petugas Imigrasi.

Adrian turut menegaskan bahawa pihaknya akan terus memperkukuh kawalan di sempadan dan mengambil tindakan tegas terhadap pelanggaran undang-undang keimigrasian bagi memastikan kedaulatan serta keselamatan Indonesia terjamin.

Tinggalkan komen