Warga emas maut, jatuh gaung

Oleh: Sumayyah Rihanna

TAMPARULI: Seorang lelaki berusia 67 tahun ditemui meninggal dunia selepas terjatuh ke dalam gaung sedalam 150 meter semasa perjalanan ke kebunnya di Kampung Kionsom Baru, di sini, malam tadi.

Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah berkata, kejadian itu dilaporkan berlaku kira-kira pukul 8.15 malam sebelum pasukan bomba menerima panggilan kecemasan melalui MERS 999.

“Sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tuaran seramai 10 orang bersama sebuah jentera FRT dan sebuah EMRS digerakkan ke lokasi kejadian.

“Sebaik tiba, pasukan mendapati seorang mangsa lelaki berada di dalam gaung. Mangsa berjaya dinaikkan tetapi disahkan meninggal dunia di tempat kejadian,” katanya.

Operasi diketuai Pegawai Bomba Kanan I, Mahmud Jumah, dengan bantuan tiga anggota polis.

Mayat mangsa seterusnya diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut sebelum operasi ditamatkan sepenuhnya pada pukul 10.40 malam.

Tinggalkan komen