Oleh: Sumayyah Rihanna
KENINGAU: Polis berjaya menyelamatkan empat remaja perempuan berusia antara 13 hingga 21 tahun yang menjadi mangsa eksploitasi seks selepas menumpaskan satu sindiket pemerdagangan manusia di daerah ini.
Ketua Polis Daerah Keningau, Superintendan Yampil Anak Garai berkata, kes berkenaan terbongkar selepas ibu bapa dua pelajar sekolah membuat laporan pada 24 Julai lalu kerana mengesyaki anak mereka terbabit dalam kegiatan tidak bermoral itu.
“Hasil siasatan membawa kepada penahanan lapan individu termasuk seorang remaja perempuan berusia 18 tahun yang dipercayai berperanan sebagai ‘ibu ayam’.
“Suspek itu didakwa merekrut mangsa bawah umur serta mengatur pelanggan melalui aplikasi media sosial,” katanya.
Menurut beliau, modus operandi sindiket adalah mengenakan bayaran sekitar RM200 bagi setiap khidmat seks, dengan separuh bayaran diserahkan kepada suspek utama dan baki diberikan kepada mangsa selepas pertemuan di hotel sekitar pekan Keningau.
Semua mangsa telah dibawa ke Hospital Keningau untuk pemeriksaan kesihatan sebelum ditempatkan di rumah perlindungan.
Mahkamah Majistret turut meluluskan perintah perlindungan selama tiga bulan terhadap dua mangsa bawah umur yang kini ditempatkan di Selangor.
Beliau berkata, hanya suspek utama berusia 18 tahun dituduh di bawah Seksyen 14 Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migran 2007, manakala tujuh yang lain dibebaskan dan dijadikan saksi pendakwaan.
