Drama kecurangan seorang isteri contoh tidak baik pada masyarakat: PAKAS

Oleh: Sumayyah Rihanna

KOTA KINABALU: Pengerusi Pertubuhan Amal Kembara Aspirasi Sabah, Kefayatullah Malik Aman melahirkan rasa kecewa dengan kandungan drama bersiri tempatan yang memaparkan kisah kecurangan seorang isteri terhadap suaminya.

Beliau berkata, bukan sekadar itu adegan melawan kata-kata suami, jalan cerita yang terlalu banyak memaparkan adegan tidak sihat antara seorang isteri dan lelaki lain adalah bertentangan dengan nilai agama serta boleh memberi contoh buruk kepada masyarakat.

“Sudahlah dalam drama itu ditunjukkan lelaki perempuan berpegangan, berpelukan, kemudian dipromosikan pula kecurangan seorang isteri. Ini sangat tidak sihat. 

“Sepatutnya penggiat industri drama mencari jalan cerita yang lebih baik dan mendidik,” katanya ketika dihubungi New Sabah News.

Menurutnya, drama bersiri mengambil masa yang panjang sebelum sampai kepada pengajaran, sedangkan kebanyakan kandungannya hanyalah adegan kecurangan dan maksiat yang berulang-ulang.

“Dalam semua agama melarang mengganggu isteri orang. Jangan normalisasikan adegan seperti ini kerana bimbang akan menjadi kebiasaan dan ikutan.

“Saya sedih, dan berharap pihak berwajib dapat memantau isi kandungan drama di Malaysia, apalagi yang dihasilkan oleh anak tempatan beragama Islam,” ujarnya lagi.

Beliau menegaskan mesej pengajaran dalam sesebuah drama perlu difokuskan sebagai jalan cerita dan adegan-adegan yang kurang sesuai perlu dielakkan.

“Agak lambat, bayangkan kalau drama itu 30 episod, 29 episod adegan curang, lawan suami, maksiat, cuma satu siri terakhir menceritakan pengajaran disebalik drama tersebut,” katanya. 

Menurutnya, hal tersebut adalah tidak wajar dibiarkan terlalu meleret-leret sekaligus mengundang nilai negatif. 

“Drama bersiri lambat sampai maksud tersirat, melainkan filem, filem pendek atau telemovie yang cuma perlu menonton dua jam untuk mengetahui apa pengajaran di sebalik cerita.

“Sewajarnya, kandungan perlu menonjolkan nilai yang baik sejak awal agar penonton mendapat manfaat positif,” ujar beliau lagi.

Tinggalkan komen