Oleh: Zacherlyn Ad
KOTA KINABALU: Presiden Pertubuhan Islam Serantau Asia Tenggara dan Pasifik (RISEAP), Datuk Patinggi Tan Sri Dr. Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg memberitahu bahawa cabaran dakwah dan memperjuangkan Islam masa kini adalah berfokuskan kepada perkembangan digital dan teknologi.
Katanya, dakwah masa kini memerlukan para pendakwah atau da’i untuk bersedia dengan teknologi baru dakwah digital dan kesiapsiagaan kecerdasan pintar (AI).
“Penting untuk membekalkan pemimpin muda dengan ilmu dan nilai integriti khasnya dalam pendidikan berkaitan Islam.
“Untuk itu, apa yang penting untuk RISEAP masa kini, dalam usaha kita melahirkan generasi da’i baru yang bersedia untuk mengadaptasi dakwah secara digital bagi usaha memperkukuh nilai Islam.
“Ini termasuk membekalkan dengan literasi dan keperluan lain yang diperlukan dalam usaha memperkukuh nilai Islam tradisional,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap semasa Majlis Perasmian Program Latihan Kepimpinan Belia Antarabangsa 2025 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), di sini, hari ini.
Menurut beliau, program itu adalah legasi kepada gerakan yang diperjuangkan untuk membawa perpaduan dan perkembangan Islam di Asia Tenggara dan Pasifik khasnya dalam membawa suara minoriti Islam.
“RISEAP akan terus berusaha untuk memperkukuh peranan kita dalam memupuk pemimpin dan da’i mendepani era global dalam komuniti.
“Kita sedar bahawa masa kini, cabaran dakwah dan kepimpinan semasa adalah sangat besar,” katanya lagi.
Majlis itu disempurnakan oleh Tuan Yang Terutama, Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Musa Aman.

Program itu juga merupakan kesinambungan dari latihan da’i antarabangsa yang telah dilaksanakan pada Februari lalu.
RISEAP diasaskan oleh Perdana Menteri pertama, Tunku Abdul Rahman Putra al-Haj pada 11 November 1980 dan mempunyai 16 negara sebagai ahli pengasas.
Antaranya ialah Malaysia, Jepun, Thailand, Korea Selatan, Taiwan, Hong Kong, Myanmar, Filipina, Brunei Darulsalam, Singapura, India, Papua New Guinea, New Caledonia, Australia, Fiji dan New Zealand.
Terkini, sebanyak 52 anggota organisasi daripada 24 negara dan wilayah di rantau Asia Tenggara dan Pasifik bernaung di bawah RISEAP.
Hadir sama dalam majlis itu ialah Timbalan Ketua Menteri Datuk Ir. Shahelmey Yahya mewakili Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Datuk Dr. Mohd Arifin Mohd Arif, Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah Datuk Kadzim M. Yahya, Setiausaha Agung Kehormat RISEAP Datuk Dr. Mohamad Marzuki Omar, Yang di-Pertua Pertubuhan Islam Seluruh Sabah (USIA) Datuk Sapawi Ahmad, dan deligasi antarabangsa lain.
