Oleh: Zacherlyn Ad
KOTA KINABALU: Pengerusi Institut Kajian Pembangunan Sabah (IDS), Datuk Seri Azizah Mohd Dun memberitahu bahawa cadangan untuk menyemak semula hukuman kepada pesalah juvana adalah wajar dan perlu dilihat secara lebih terperinci.
“Cadangan itu wajar untuk dipertimbangkan dan dibincangkan semula, dan lebih tepat lagi adalah ditengok secara terperinci kerana apa-apa yang berkaitan akta atau undang-undang ini, kita tidak boleh buat keputusan sewenang-wenangnya.
“Perkara ini besar, tidak boleh dilihat dari satu kes sahaja dan mesti ada siasatan mendalam, baru boleh buat keputusan atau cari mekanisme lain yang sesuai,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika ditemui dalam sebuah sidang media di Wisma IDS, di sini, petang tadi.
Terdahulu, Persatuan Hal Ehwal & Pelindung Pengguna Sabah (CAPS) mencadangkan agar kerajaan menurunkan had umur pelaku juvana daripada 18 tahun kepada bawah 15 tahun.
CAPS menjelaskan langkah itu adalah perlu bagi menepati keperluan semasa berikutan peningkatan kes jenayah yang berlaku, melibatkan golongan remaja.
Menurut Azizah, kajian terperinci perlu dijalankan dengan melibatkan pelbagai pihak untuk membincangkan dan mencari penyelesaian kepada setiap permasalahan yang berlaku.
“Kita ada pelan untuk kajian dan ini mesti dibuat dengan teratur, tidak boleh kelam-kabut, mesti lihat secara menyeluruh supaya tindakan terbaik dapat dilaksanakan.
“Kajian sebegini juga melibatkan banyak pihak dan kita kena ambil kira pandangan pakar yang terlibat, nilai sudut pandang mereka secara profesional dan inilah kelak yang menjadi penyumbang kepada usaha menangani masalah kesalahan juvana, termasuk buli, baik di sekolah, mahupun di tempat kerja, dalam keluarga juga berlaku kejadian buli,” katanya lagi.
Dalam pada itu, Azizah menegaskan bahawa usaha menyeluruh adalah melibatkan tanggungjawab banyak pihak.
“Semua bertanggungjawab, untuk kita faham dan nilai kejadian malang seperti buli, kena ada kefahaman dari sudut ibu bapa, komuniti, trend semasa, kemungkinan atau kebarangkalian, tindakan dan paling penting adalah langkah pencegahan awal,” ujar beliau lagi.
