Pembinaan SMK Langkon perlu penyelesaian segera

KOTA KINABALU: Ketua UMNO Bahagian Kota Marudu, Datuk Ismarah Madcasar menggesa agar pembinaan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Langkon di Kota Marudu yang tertangguh selama 15 tahun dipandang serius oleh pihak bertanggungjawab.

“Keadaan ini tidak wajar dibiarkan berlarutan kerana kelewatan pembinaan seolah-olah menafikan hak pelajar terhadap kemudahan pendidikan yang selamat dan berkualiti.

“Saya menggesa Kementerian Pendidikan Malaysia untuk segera turun padang melihat sendiri keadaan SMK Langkon dan hanya dengan kehadiran dan penilaian terus di lapangan, kementerian dapat memahami kesan sebenar kelewatan ini terhadap pelajar, guru, dan komuniti setempat,” katanya. 

Beliau berkata demikian dalam sebuah kenyataan media, di sini, hari ini.

Menurut beliau, tindakan segera diperlukan bagi memastikan pembinaan sekolah ini disiapkan tanpa penangguhan tambahan.

“Apabila kemudahan asas pendidikan tertangguh selama lebih sedekad, ia bukan sekadar kelewatan teknikal ia adalah kegagalan memenuhi amanah kepada generasi muda dan komuniti.

“Sekiranya terdapat unsur ketirisan atau salah urus yang menyebabkan projek ini tergendala begitu lama, pihak berkuasa termasuk SPRM wajar menjalankan siasatan telus. 

“SPRM perlu bertindak proaktif melakukan siasatan menyeluruh. Integriti dalam pengurusan dana awam adalah asas kepada kepercayaan rakyat terhadap institusi,” katanya lagi.

Tinggalkan komen