Oleh: Zacherlyn Ad
KOTA KINABALU: Ketua Wanita Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Datuk Seri Azizah Mohd Dun menegaskan bahawa wanita GRS berpegang kepada keputusan yang dinyatakan oleh kepimpinan tertinggi GRS berkenaan kerjasama dengan gabungan Pakatan Harapan (PH) bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-17 akan datang.
Katanya, kerjasama yang diumumkan oleh kepimpinan negeri itu jelas mempamerkan pendirian GRS dan wanita GRS hanya akan bekerjasama mengikut hala tuju parti.
“Sudah jelas seperti apa yang Setiausaha Agung Parti, Datuk Seri Masidi Manjun, nyatakan, kita kerjasama dengan gabungan PH untuk PRN akan datang.
“Siapa pun yang keluarkan kenyataan kemudian, dan menjelaskan berkenaan kerjasama lain-lain, kita hanya akan ikut apa yang sudah kepimpinan parti kita sebut, itu saja kita ambil kira,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika ditemui dalam sesi sidang media selepas mempengerusikan sebuah mesyuarat bersama wakil-wakil wanita GRS, di sini, petang tadi.
Terdahulu, Perdana Menteri merangkap Pengerusi PH, Datuk Seri Anwar Ibrahim menjelaskan bahawa beliau sedang berunding dengan Barisan Nasional (BN) dan GRS untuk mengelakkan pertembungan pada bagi PRN17.
Pada 3 Ogos lalu, Anwar memberitahu pemberita bahawa usaha itu adalah bagi memastikan persefahaman dicapai antara GRS-BN-PH sekaligus menzahirkan keperluan jalinan kerjasama itu bagi membina Sabah yang lebih maju, stabil dan selari dengan kepimpinan Kerajaan Persekutuan.
Dalam pada itu, Azizah turut menyatakan wanita GRS akan terus mempertahankan kerusi GRS dan berharap agar pemimpin wanita sedia ada dipertahankan.
“Perbincangan perkenaan kerusi, itu semua adalah hal yang diputuskan oleh Pengerusi iaitu, Datuk Seri Hajiji Noor dan apa yang saya boleh katakan adalah kita akan pertahankan kerusi sedia ada.
“Kalau ditanya sama ada saya rasa terjejas atau tidak dengan jalinan kerjasama dengan PH, saya ingin jelaskan, saya tidak rasa ada yang terjejas kerana kita akan bekerja dan ikut hala tuju parti.
“Kita pertahankan kerusi yang ada dan fokus dalam gerak kerja,” katanya lagi.
