Lelaki ditahan cekik, pukul dan ugut bunuh isteri

Oleh: Sumayyah Rihanna

TAWAU:  Polis menahan seorang lelaki berusia 31 tahun selepas disyaki memukul, mencekik dan mengugut bunuh isterinya dalam kejadian di rumah mereka, Selasa lalu.

Pemangku Ketua Polis Daerah Tawau, Superintendan Champin Piuh berkata, kejadian berlaku kira-kira pukul 6.30 petang selepas pasangan itu dipercayai berselisih faham.

“Suspek didakwa mencekik dan memukul mangsa sehingga menyebabkan bengkak pada telinga kanan serta bahagian atas pipi.

“Suspek turut mengeluarkan ugutan bunuh terhadap mangsa,” katanya dalam kenyataan, di sini, hari ini.

Beliau berkata, laporan polis dibuat oleh mangsa berusia 31 tahun pada pukul 9.16 pagi semalam, sebelum sepasukan anggota Bahagian Siasatan Jenayah (BSJ) Ibu Pejabat Polis Daerah Tawau menahan suspek kira-kira pukul 5 petang di kawasan tempat letak kereta di hadapan sebuah bank di bandar ini.

Kes disiasat mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan, Seksyen 18A Akta Keganasan Rumah Tangga dan Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana ugutan jenayah.

Champin turut menasihatkan mangsa keganasan rumah tangga supaya tidak berdiam diri dan segera membuat laporan kepada pihak polis kerana tindakan awal mampu menyelamatkan nyawa serta mengelakkan kejadian lebih serius.

Tinggalkan komen