Oleh: Sumayyah Rihanna
TAWAU: Gagal memujuk kenalan baharu ke hotel, seorang remaja lelaki bertindak mencabul dan memukul seorang pelajar perempuan dalam kejadian di kawasan kedai di Jalan Kuhara, minggu lalu.
Pemangku Ketua Polis Daerah Tawau, Superintendan Champin Piuh berkata, suspek berusia 17 tahun ditahan sepasukan anggota Bahagian Siasatan Jenayah (BSJ) Ibu Pejabat Polis Daerah Tawau kira-kira pukul 4 petang semalam di tepi Bangunan Eastern Plaza, Jalan Kuhara.
Menurutnya, siasatan awal mendapati kejadian berlaku pada 7 Ogos lalu, apabila mangsa berusia 18 tahun berjumpa suspek selepas berkenalan melalui telefon.
“Suspek kemudian mengajak mangsa ke hotel, namun ajakan itu ditolak sebelum dia bertindak agresif dengan memaksa serta menumbuk mangsa di bahagian lengan dan perut hingga menyebabkan lebam dan kesakitan.
“Hasil tangkapan membawa kepada rampasan sebuah kenderaan jenis Toyota Hilux beserta kunci yang dipercayai digunakan dalam kejadian,” katanya.
Suspek kini direman untuk siasatan mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan kerana mencabul dan Seksyen 323 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan.
Champin turut mengingatkan orang ramai supaya sentiasa berwaspada ketika berurusan dengan individu yang baru dikenali serta segera membuat laporan polis sekiranya menjadi mangsa jenayah.
