Oleh: Sumayyah Rihanna
TAWAU: Seorang lelaki ditahan polis selepas dipercayai menetak rakannya dengan kapak hingga menyebabkan kecederaan di kepala dalam kejadian di Kampung Pangkalan Asli, Merotai Besar, semalam.
Mangsa yang cedera mendapatkan rawatan di sebuah klinik sebelum membuat laporan polis.
Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Jasmin Hussin berkata, bertindak atas maklumat, anggota polis menahan suspek di sebuah rumah tanpa nombor di kampung berkenaan.
“Suspek kemudian membawa polis ke lokasi penyimpanan sebilah kapak yang dipercayai digunakan dalam kejadian itu.
“Lelaki tempatan berusia 47 tahun itu bersama barang rampasan dibawa ke balai polis untuk siasatan lanjut,” katanya.
Kes disiasat mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan.
