Oleh: Sumayyah Rihanna
TAWAU: Seorang wanita bersama anak lelakinya meninggal dunia pada Selasa dipercayai akibat keracunan makanan selepas menghadiri majlis kenduri kahwin di Kampung Batu 4, Jalan Apas, di sini.
Mangsa, wanita berusia 36 tahun, bersama anak sulungnya berusia sembilan tahun, dilaporkan mengalami cirit-birit dan muntah sebelum disahkan meninggal dunia.
Timbalan Ketua Polis Daerah Tawau, Superintenden Champin Piuh, berkata kejadian itu dimaklumkan oleh seorang wanita berusia 24 tahun yang memaklumkan ibu saudaranya dan sepupunya meninggal dunia akibat dipercayai keracunan makanan.
“Dalam laporan yang dibuat kira-kira pukul 10.30 pagi Selasa, pengadu memaklumkan bahawa kedua-dua mangsa mengalami keracunan makanan selepas menghadiri majlis kenduri kahwin di kampung berkenaan pada Sabtu lalu.
“Hasil keterangan suami mangsa dan pengadu mendapati, dua beranak itu menghadiri kenduri tersebut dan membawa pulang makanan yang dibungkus untuk suaminya.
“Selepas memakan makanan itu, suaminya turut mengalami cirit-birit dan muntah sejak pagi Ahad hingga petang Isnin,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Menurut beliau, maklumat awal mendapati beberapa tetamu lain yang hadir ke majlis berkenaan turut mengalami simptom sama.
Bagaimanapun, punca sebenar keracunan makanan masih dalam siasatan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) yang turut membantu pihak polis.
Pasukan Forensik Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah juga berada di lokasi kejadian untuk siasatan lanjut.
Kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut. Mayat kedua-dua mangsa dihantar ke Hospital Tawau untuk bedah siasat, yang selesai dijalankan kira-kira pukul 6.30 petang Selasa. m
Hasil pemeriksaan mendapati tiada kesan kecederaan pada tubuh mangsa.
Champin berkata, siasatan masih diteruskan termasuk mendapatkan keterangan saksi lain yang turut hadir ke majlis kenduri itu bagi mengenal pasti sama ada mereka juga mengalami simptom sama.
“Barang kes telah dihantar ke Jabatan Kimia untuk analisis lanjut,” katanya.
