Berhikmah dan berhemah dalam tangani isu kematian Zara Qairina

Oleh: Sumayyah Rihanna

KOTA KINABALU: Yang Dipertua Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) Sabah, Mohd Zikri Zainudin menyeru semua pihak untuk berhikmah dan berhemah dalam mengulas serta menanggapi isu arwah Zara Qairina Mahathir.

“Islam menekankan kepentingan menjaga maruah insan (Karamah Insaniah) dan menolak sebarang fitnah, tuduhan atau dakwaan tidak berasas yang boleh mengganggu keharmonian.

“Orang ramai tidak seharusnya terburu-buru mempercayai atau menyebarkan maklumat tanpa disahkan, sebaliknya merujuk kepada kenyataan rasmi pihak berkuasa atau peguam keluarga arwah,” 

Beliau berkata demikian dalam sebuah kenyataan media, di sini, hari ini.

Katanya, amalan membuat andaian, mencari aib atau mengumpat adalah perbuatan dilarang agama dan berisiko menimbulkan fitnah.

“Ruang yang secukupnya perlu diberikan kepada pihak berkuasa untuk menjalankan siasatan terperinci demi memastikan kebenaran dan keadilan dapat ditegakkan. 

“Andaian atau tuduhan tidak membantu, malah boleh mencetuskan kesan negatif terhadap individu atau pihak tertentu,” katanya lagi.

Selain itu, beliau juga menyeru orang ramai mengawal emosi, mengelakkan penyebaran spekulasi di media sosial dan menghentikan perbuatan buli siber yang boleh mengaibkan pihak tertentu.

“ABIM Sabah turut menasihatkan masyarakat agar tidak memanipulasi kes ini bagi tujuan menyebarkan kebencian atau agenda tertentu.

“Kita juga memohon agar Kementerian Komunikasi serta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) memantau penularan maklumat yang tidak terkawal di platform digital, di samping memastikan kementerian berkaitan menyediakan sokongan psikologi dan emosi kepada keluarga, guru, ibu bapa serta pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Tun Datu Mustapha,” jelasnya.

Mohd Zikri turut mengajak masyarakat agar terus berdoa dan bermunajat kepada Allah SWT supaya kebenaran dan keadilan dalam kes ini dapat ditegakkan, serta menggalakkan mana-mana pihak yang mempunyai maklumat tampil menyalurkannya kepada peguam keluarga atau pihak berkuasa yang berkaitan.

Tinggalkan komen