Oleh: Zacherlyn Ad
KOTA KINABALU: Pihak berkuasa yang berkaitan digesa untuk menjalankan siasatan menyeluruh dan telus berhubung kematian tragis arwah Zara Qairina Mahathir.
Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Musa Aman berkata siasatan itu mestilah dilaksanakan dengan penuh ketelitian, tanpa rasa takut atau pilih kasih, berlandaskan kepada kebenaran dan keadilan.
“Bedah siasat telah dilakukan semalam dan siasatan kini sedang dijalankan dan menunggu hasil bedah siasat tersebut.
“Setiap aspek mesti disiasat sepenuhnya kerana menuntut keadilan bukanlah satu bentuk pembalasan. Sebaliknya ianya adalah suatu perintah Allah SWT untuk melindungi yang lemah dan menghukum mereka yang bersalah,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sebuah kenyataan media, di sini, hari ini.
Selain itu, beliau juga menyeru orang ramai, terutamanya pengguna media sosial, supaya tidak membuat sebarang spekulasi dan menyebarkan tuduhan tidak berasas menggalakkan teori konspirasi berhubung kes tersebut.
“Tindakan sedemikian bukan sahaja boleh menggugat integriti siasatan malah boleh menyebabkan kesedihan yang lebih mendalam kepada keluarga Zara yang sedang berduka.
“Pihak Istana juga menyeru agar semua pihak memberi ruang kepada proses undang undang untuk berjalan dengan adil, serta berdiri seiring dengan keluarga Zara dalam mencari jawapan dan penyelesaian kes ini,” katanya lagi.
Dalam pada itu, Tun Musa dan Toh Puan bersama seluruh rakyat di negara ini, merakamkan ucapan takziah dan simpati kepada keluarga Zara.
“Semoga keluarga Zara diberikan kekuatan dan ketabahan dalam menghadapi dugaan yang amat berat ini.
“Sementara itu, Majlis Tahlil dan Doa Peringkat Negeri khusus untuk arwah Zara akan diadakan pada hari Khamis, 14 Ogos 2025 selepas solat maghrib di Masjid Bandaraya Kota Kinabalu.
“Majlis yang sama akan turut diadakan secara serentak di semua masjid dan surau di seluruh negeri pada tarikh berkenaan,” jelasnya.
Tun Musa turut menggalakkan umat Islam untuk hadir bersama-sama di majlis tersebut dan juga mengalakkan mereka yang bukan beragama Islam berdoa untuk Zara mengikut kepercayaan masing-masing.
“Keselamatan dan kebajikan anak-anak kita mestilah sentiasa menjadi keutamaan kita semua,” tambahnya.
Beliau turut menzahirkan harapan beliau agar tragedi seumpama itu tidak berulang lagi pada masa hadapan.
