Solat hajat dan yasin seluruh Lahad Datu untuk keadilan arwah Zara

Oleh: Sumayyah Rihanna

LAHAD DATU: Seluruh masjid dan surau di daerah ini akan mengadakan solat hajat, bacaan Yasin, doa dan tahlil khas pada Khamis, 14 Ogos 2025, selepas solat Maghrib, sebagai tanda solidariti dan doa demi menuntut keadilan buat remaja, arwah Zara Qairina Mahathir.

Program anjuran Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah (JHEAINS) Lahad Datu itu akan dipimpin Pegawai Tadbir Agama, Ustaz Mardi Arifin, yang mengajak umat Islam setempat bersama-sama memohon pertolongan Allah SWT agar kebenaran dapat ditegakkan.

Majlis berkenaan akan berlangsung serentak di seluruh masjid dan surau dengan tema pakaian serba putih seperti baju Melayu putih, kurta putih, jubah putih atau sebarang pakaian putih sebagai lambang perpaduan dan kesucian niat.

Menurut Ustaz Mardi, program itu bukan sekadar penghormatan kepada arwah, malah sebagai usaha mengeratkan ukhuwah masyarakat selain meningkatkan kesedaran tentang kepentingan menjaga keselamatan dan hak kanak-kanak.

Masyarakat setempat diseru hadir beramai-ramai ke masjid atau surau berdekatan untuk mengimarahkan majlis ini serta menunjukkan sokongan padu terhadap usaha mendapatkan #Justice4Zara.

Tinggalkan komen