Penunggang motosikal maut dalam nahas dua kereta

Oleh: Sumayyah Rihanna

LAHAD DATU: Seorang lelaki berusia 21 tahun warga Filipina maut manakala rakannya cedera parah selepas motosikal mereka terlibat dalam kemalangan dengan dua buah kereta di Kilometer 80, Jalan Lahad Datu–Tungku (Felda Sahabat 4), petang semalam.

Ketua Polis Daerah Lahad Datu, ACP  Dzulbaharin Ismail berkata, kejadian berlaku kira-kira pukul 3 petang apabila motosikal Honda EX5 yang dinaiki mangsa dan seorang pembonceng berusia 19 tahun dari arah Cenderawasih dipercayai hilang kawalan lalu terjatuh sebelum terseret ke lorong bertentangan.

“Pada masa itu, sebuah MPV Perodua Alza dipandu lelaki tempatan berusia 49 tahun dari arah Tungku tidak sempat mengelak dan merempuh motosikal berkenaan, menyebabkan kedua-dua mangsa terjatuh berhampiran garisan berkembar.

“Tidak lama kemudian, sebuah Proton Saga yang dipandu lelaki warga Indonesia berusia 37 tahun dari arah sama turut melanggar motosikal itu hingga terseret ke bahu kanan jalan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi, manakala pembonceng mengalami kecederaan parah di bahagian kepala. Kedua-dua pemandu kereta terbabit tidak mengalami kecederaan.

Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Polis meminta saksi kejadian menghubungi Pegawai Penyiasat Trafik, Insp. Humaidi Harun di talian 089-881255 atau hadir ke Ibu Pejabat Polis Daerah Lahad Datu. 

Dzulbaharin turut mengingatkan semua pengguna jalan raya supaya lebih berhemah bagi mengelakkan tragedi.

Tinggalkan komen