Pemandu mabuk rempuh pelari wanita hingga parah

Oleh: Sumayyah Rihanna

TAWAU: Seorang wanita yang sedang berlari bersama rakan-rakannya cedera parah selepas dirempuh sebuah pacuan empat roda dipandu lelaki disyaki mabuk di Batu 9, Jalan Apas, di sini, malam tadi.

Kejadian kira-kira pukul 7.55 malam itu berlaku apabila Toyota Hilux yang dipandu lelaki berusia 57 tahun melanggar bahagian belakang Perodua Alza yang dipandu seorang lelaki berusia 39 tahun.

Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Jasmin Hussin berkata, akibat pelanggaran itu, Toyota Hilux terbabas ke kiri jalan sebelum melanggar mangsa berusia 41 tahun yang sedang berlari dari Bandar Sri Indah menuju T2, Jalan Apas.

“Mangsa mengalami kecederaan parah dan kini berada dalam keadaan kritikal.

“Kedua-dua pemandu kenderaan tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya.

Beliau berkata, siasatan awal mendapati pemandu Toyota Hilux memandu di bawah pengaruh alkohol dan telah ditahan untuk membantu siasatan di bawah Seksyen 44(1A) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang membawa hukuman penjara tujuh hingga 10 tahun, denda RM50,000 hingga RM100,000, serta hilang kelayakan lesen memandu sekurang-kurangnya 10 tahun jika sabit kesalahan.

Jasmin turut menasihatkan orang ramai supaya tidak berlari di atas jalan raya pada waktu malam berikutan risiko tinggi kemalangan dan mengutamakan laluan khas jogging atau kawasan yang bercahaya demi keselamatan.

Tinggalkan komen