Oleh: Sumayyah Rihanna
LAHAD DATU: Seramai 50 peserta hadir dalam Kursus Intensif Pengurusan Jenazah Wanita 2025 anjuran Biro Khairat Kematian Masjid Nurul Aman (MNA) yang dianjurkan bagi memberi pendedahan ilmu fardu kifayah, bertepatan dengan tema ‘Mati Itu Pasti’.
Pengerusi Biro Khairat Kematian, Haji Mohd Ridzal Haji Abdullah dalam ucapannya menzahirkan rasa syukur kerana program itu menerima sambutan luar biasa daripada pelbagai lapisan masyarakat.
Beliau berkata, ilmu pengurusan jenazah adalah amanah penting yang wajar dipelajari dan diamalkan demi manfaat bersama.
“Selain memberi pendedahan secara teori, kursus ini turut menyediakan latihan amali bagi memastikan peserta memahami dengan jelas kaedah pengurusan jenazah mengikut tuntutan syarak,” katanya.
Pengerusi Masjid Nurul Aman, Dr. Haji Mohammad Ayub Haji Yaakub pula mengucapkan syabas kepada semua pihak yang menjayakan program itu dan menegaskan bahawa setiap umat Islam perlu bersedia melaksanakan tanggungjawab mengurus jenazah apabila diperlukan.
Beliau turut menggalakkan peserta memanfaatkan bimbingan daripada tenaga pengajar berpengalaman sepanjang kursus berlangsung.
Hadir sama Setiausaha MNA Arsani Alam, Penolong Setiausaha MNA Amin Amat, Bendahari MNA Haji Noorham Hamid, Pengerusi Biro Kebajikan dan Kemasyarakatan MNA Haji Halim Mohd Djuda, Timbalan Pengerusi Biro Khairat Al Fadil Ustaz Haji Mohd Yunus Abu, Penolong Setiausaha Biro Khairat Hajah Hasma Andi Mapa, serta Pengerusi Biro Muslimah dan Keluarga Hajah Annie Yusuf.
Wakil PERKESO turut hadir bagi memberi kesedaran tentang kepentingan mencarum sebagai langkah persediaan menghadapi sebarang kemungkinan musibah.
Kursus itu turut menerima sokongan padu daripada dermawan, sukarelawan dan masyarakat setempat yang menyumbang masa, tenaga dan kewangan demi kelancaran penganjuran.
