LAPORAN KHAS
Oleh: Sumayyah Rihanna
LAHAD DATU: Bahang Pilihan Raya Negeri Sabah (PRN) ke-17 semakin terasa, namun persoalan yang muncul ketika ini adalah siapa bakal menjadi calon bagi mewakili parti-parti yang bakal bertanding nanti.
Tinjauan wartawan ke daerah ini mendapati orang ramai berharap agar calon yang menghiasi PRN kali ini adalah berkredibiliti, memiliki karisma dan aura kepimpinan.
Rohana Hamid, 50, berkongsi pandangan bersama wartawan New Sabah News dan memberitahu bahawa semua parti peleu memilih calon berkredibiliti untuk menjadi imej meraih undi.
“Saya mahu calon yang dikenali dan dia mampu untuk memimpin rakyat di kawasan ini.
“Dia tidak semestinya berjawatan penting dalam parti, asalkan dia orang yang rakyat di kawasan kenal dan tahu, baru kami boleh buat pilihan tepat semasa mengundi,” katanya.
Bagi Saiful Azizul, 46 pula, semua parti yang bertanding perlu memilih calon yang berkarisma dan tidak mempunyai masalah peribadi atau kes tertentu.
“Bakal calon itu mesti ada karisma sendiri dan tiada masalah peribadi atau terpalit dengan kes.
“Kontroversi kes ini biasanya memburukkan imej dan untuk meraih sokongan rakyat, tidak wajar jika calon yang terpalit kontroversi diletakkan sebagai wakil parti,” katanya lagi.
Tambah beliau, latar belakang calon yang bertanding juga adalah kunci kepada kekuatan untuk diyakini rakyat.
“Ini penting kerana bukan sahaja seseorang itu mewakili parti namun latar belakang calon itu juga harus diambil kira dengan teliti,” ujarnya.
Selain itu, Mohd Nazrin Nasir, 26, pula menyatakn harapan beliau untuk melihat pemimpin yang dipilih adalah mereka yang memiliki sifat kepimpinan serta jati diri yang jitu.
Katanya, pemimpin yang mempunyai jati diri adalah pemimpin yang mampu dicontohi dan dihormati rakyat.
“Bila mahu jadi pemimpin, sudah tentu dia adalah orang yang ada jati diri positif, mampu berkomunikasi dengan baik kepada seluruh lapisan masyarakat dan mampu menyelesaikan masalah dihadapi rakyat dengan sistematik dan cepat.
“Seperti zaman wabak Covid-19, ia sesuatu keadaan yang sangat mencabar, kita perlu pemimpin yang boleh hadapi masalah yang tiba-tiba boleh terjadi,maka saya menyeru pilih calon yang layak dan ada ilmu serta pengalaman untuk menyelesaikan masalah,” jelasnya.
Katanya, pemimpin yang bijak akan mempunyai idea bernas dalam menyelesaikan masalah rakyat.
“Wakil rakyat yang ada sifat-sifat ini yang kita mahu, bukan sekadar pandai berkata-kata berjanji bulan bintang.
“Situasi rakyat akar umbi sekarang adalah kami mahu suara kami didengar dan kami mahu pemimpin yang mampu memperjuangkan nilai-nilai murni untuk kebaikan rakyat dari semua aspek.
“Baik ekonomi, sosial, kebajikan dan pembangunan, semuanya yang penting untuk rakyat,” katanya.

Parlimen Lahad Datu merupakan kawasan yang dilabel ‘panas’ kerana menjadi kubu kuat Parti Warisan Sabah (Warisan), selepas kekalahan Barisan Nasional (BN) dalam pilihan raya lalu.

Terdapat empat Dewan Undangan Negeri (DUN) bagi Parlimen ini, antaranya DUN Tungku, DUN Segama, DUN Silam dan DUN Kunak.

Lahad Datu adalah kawasan yang kaya dengan aktiviti penanaman koko dan kelapa sawit.

Daerah ini juga kaya dengan hutan hijau yang memukau seperti Lembah Danum dan Hutan Tabin serta mempunyai sistem jaringan pengangkutan termasuk lapangan terbang domestik.

Selain hutan, kini Lahad Datu juga dikenali di seluruh dunia terutama pelancong Eropah dengan keindahan pulau seperti Pulau Tabawan dan Terumbu Lingkaran Biru atau Blue Ring Reef.

Walaupun sebelum ini, daerah Lahad Datu juga pernah dikejutkan dengan insiden pencerobohan Sulu, namun kini tidak lagi kerana pelancongan dari dalam dan luar negara sudah mula datang ke sini.
