Oleh: Zacherlyn Ad
TUARAN: Ahli Parlimen Papar, Datuk Armizan Mohd Ali menggesa agar pegawai penyiasat dan pihak bertanggungjawab untuk menjalankan bedah siasat terhadap arwah Zara Qairina mengikut peruntukan Seksyen 330 Kanun Tatacara Jenayah.
“Dalam keadaan itu, Pegawai Penyiasat mempunyai kewajipan untuk menentukannya sebagaimana termaktub dalam Seksyen 330 Kanun Tatacara Jenayah. Diharap PDRM membuat tindakan susulan segera untuk proses bedah siasat.
“Kita ambil maklum akan situasi semasa yang mana sewajarnya dari peringkat awal lagi dalam kes-kes yang sesuatu kematian tidak jelas punca dan situasinya, bedah siasat wajib dilaksanakan untuk mengelakkan sebarang isu berbangkit sebagaimana yang berlaku dalam kes ini,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa menjawab soalan ketika ditemui pemberita selepas hadir merasmikan Pertandingan Betitik sempena Festival Kebudayaan Rumpun Bajausama 2025 bertempat di Pusat Kebudayaan Rumpun Bajausama, Kampung Lok Batik, di sini, hari ini.
Menurut Armizan, pihak berkuasa perlu terbuka untuk mempertimbangkan usaha mewujudkan inkues sekiranya keadaan menuntut kelak.
“Sungguhpun mungkin masih terlalu awal untuk diputuskan, namun ini wajar.
“Kenyataan Pejabat Peguam Negara yang mengarahkan PDRM untuk melaksanakan siasatan susulan termasuk melakukan bedah siasat dengan menggali semula kubur arwah Zara amat-amatlah bertepatan,” katanya lagi.
Dalam pada itu, Armizan turut menjelaskan bahawa prosiding inkues adalah platform yang tersedia dalam sistem perundangan negara untuk membolehkan segala perkara dan situasi diteliti melalui sebanyak mungkin saksi yang relevan.
“Orang awam pula diberikan akses untuk mengikutinya secara terbuka dan mendapat maklumat dan ini amat penting dalam keadaan sesuatu kes yang telah mendapat perhatian umum luar biasa dan mengundang pelbagai spekulasi dan fitnah.
“Ya, memang ada pihak yang cuba mengambil kesempatan dengan membuat spekulasi atas motif tertentu, namun lebih ramai di luar sana rakyat yang ingin mencari kebenaran dan menuntut keadilan.
“Keadilan perlu ditegakkan buat arwah Zara dan sebarang spekulasi dan fitnah perlu dibendung melalui proses yang telus dan teratur berpaksikan kepada undang-undang,” katanya.
Armizan turut menzahirkan rasa simpati dan mendoakan agar perjalanan siasatan kes serta bedah siasat arwah Zara Qairina berjalan lancar.
“Tidak berniat untuk mencampuri siasatan, ini adalah pandangan peribadi saya, saya berharap semoga semua berjalan lancar, insyaAllah,” ujar beliau lagi.
