Oleh: Sumayyah Rihanna
SEMPORNA: Sejak beroperasi pada tahun 2020, Pondok KAFA Kampung Look Kubang di Pulau Bum-Bum, menjadi pusat pendidikan agama percuma yang memberi manfaat kepada anak-anak pulau.
Madrasah yang menempatkan seramai 30 pelajar itu dikendalikan oleh dua orang guru yang komited dalam usaha membimbing mereka secara berterusan.
Pengasasnya, Ustaz Mohd Zaini Salawat, berkata pondok itu pernah menerima pelbagai bantuan, antaranya daripada Baitul Mal Negeri Sabah dan program tanggungjawab sosial korporat (CSR) PolyCC Negeri Sabah, di samping sumbangan rakan-rakan serta dermawan setempat.
Pondok itu turut didaftarkan di bawah JAKIM sebagai KAFA, membolehkan kurikulum dan pentadbirannya mengikuti garis panduan pihak berkuasa agama.
“Matlamat utama Pondok KAFA Kampung Look Kubang adalah memberi peluang kepada anak-anak pulau yang kurang berkemampuan untuk menerima pendidikan agama secara percuma.
“Pada masa akan datang, kami juga bercadang menjadikan madrasah ini sebagai pusat perlindungan bagi anak yatim piatu,” katanya ketika ditemui New Sabah News di sini, baru-baru ini.
Tambah beliau, pihak pengurusan juga mengalu-alukan jika orang ramai ingin menyalurkan bantuan dan sumbangan untuk usaha murni memperkasa pendidikan agama anak-anak pulau itu.
“Kita terima pelbagai bentuk sumbangan seperti kewangan, pakaian, bahan bacaan agama, dan khidmat sukarelawan demi memastikan program pengajian serta usaha kebajikan dapat diteruskan,” katanya.
Jelas beliau lagi, pihaknya juga amat berharap agar lebih ramai pihak tampil dalam usaha membantu memperkukuh pendidikan agama di kawasan pulau sekitar Semporna.
“Semoga usaha kita mendidik anak-anak di sini untuk memahami asas agama diberkati dan mendapat sokongan dari pelbagai pihak.
“Sesungguhnya ini adalah tanggungjawab kita sebagai pendidik untuk memberikan panduan serta ilmu kepada anak-anak yang wajib kita asuh kerana ini adalah antara amanah yang sudah dipertangjawabkan kepada kita di dunia, insyaAllah,” ujar beliau lagi.
