Mahu pastikan tiada pencatutan berlaku: Fuziah

Oleh: Zacherlyn ad

KOTA KINABALU: Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Senator Datuk Dr. Fuziah Salleh memberitahu bahawa kementerian itu komited dalam usaha untuk memastikan tidak ada sebarang pencatutan harga berlaku berikutan penarikan subsidi telur.

“Kelmarin (8 Julai), saya melawat STF Agriculture Sdn. Bhd. di Tamparuli untuk lihat bagaimana telur ayam dan kemungkinan kos pengeluarannya beri kesan kepada harga ayam selepas penarikan subsidi baru-baru ini.

“Kita mahu pastikan bahawa penarikan subsidi telur tidak mengakibatkan sebarang aktiviti pencatutan harga berlaku oleh pihak yang tidak bertanggungjawab, selaras dengan peruntukan di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 (Akta 723),” katanya. 

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika ditemui dalam sesi sidang media sempena Program Sesi Libat Urus Kajian Semula Pelan Induk Perdagangan 2025-2035 dan Semakan Semula Perundangan E-Dagang di sini, hari ini.

Menurut Fuziah, kementerian juga akan terus mempergiat usaha pemantauan dan penguatkuasaan bagi memastikan harga telur kekal berpatutan.

“Kita akan pantau dan pastikan tidak ada pihak yang mengambil kesempatan untuk mengaut keuntungan berlebihan, serta kita akan pastikan bekalan telur juga sentiasa mencukupi untuk memenuhi permintaan pengguna di seluruh negara.

“Tindakan tegas akan diambil terhadap mereka yang melanggar peruntukan akta ini, demi melindungi kepentingan dan kebajikan rakyat,” katanya lagi.

Dalam pada itu, beliau juga memberitahu bahawa sesi libat urus di Sabah merupakan siri kedua anjuran KPDN yang menekankan keperluan mengemas kini perundangan e-dagang sedia ada.

“Pertama kita sudah buat sesi libat urus ini di Putrajaya, dan hari ini kita buat di Sabah, ada satu lagi nanti sesi libat urus sebegini akan kita buat di Sarawak.

“Sesi libat urus kita melibatkan wakil industri, platform digital, persatuan peniaga, pertubuhan perlindungan pengguna, wakil kementerian dan agensi, pakar perundangan dan ahli akademik.

“Usaha ini penting kerana kita mahu memastikan dasar serta peraturan semasa mampu menampung perubahan landskap perniagaan dalam talian, mengukuhkan perlindungan kepada pengguna dan platform,” katanya. 

Tambah beliau, hasil Kajian Semakan Semula Perundangan E-Dagang yang dijalankan juga menunjukkan keperluan untuk mewujudkan satu kerangka perundangan baru yang lebih tersusun dan efektif di peringkat nasional.

“Berdasarkan data aduan yang diterima KPDN, transaksi dalam talian kekal sebagai kategori aduan tertinggi bagi tempoh 2023-2024 dan antara isu utama yang sering dilaporkan ialah jualan barang tipu, penyebaran iklan yang mengelirukan, penggunaan identiti palsu oleh penjual, serta kesukaran berurusan dengan pembekal luar negara khasnya berkenaan pemulangan barang dan tuntutan bayaran balik.

“Untuk itu, hasil dapatan kajian yang sudah dijalankan oleh kementerian mencadangkan agar undang-undang khusus berkaitan e-dagang digubal, berpaksikan kepada tiga teras utama iaitu penetapan tanggungjawab industri yang jelas, penguatkuasaan yang lebih berkesan dan perlindungan menyeluruh kepada pengguna serta peniagaan dalam ekosistem digital,” ujarnya lagi.

Tinggalkan komen