KOTA KINABALU: Ibu arwah Zara Qairina, Noraidah Lamat, 45, akan menyerahkan telefon bimbit miliknya yang mengandungi rakaman audio perbualan telefon dengan arwah Zara kepada pihak polis.
Peguam Hamid Ismail dan Shahlan Jufri yang mewakili beliau memberitahu bahawa tindakan anak guam mereka itu adalah bagi membantu usaha melengkapkan siasatan pihak polis selepas pengembalian semula kertas siasatan oleh Jabatan Peguam Negara, kelmarin.
“Anak guam kami akan menyerahkan telefon bimbitnya di ibu pejabat polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu di Kepayan, petang ini.
“Terima kasih Jabatan Peguam Negara yang telah mengembalikan laporan penuh siasatan awal berkaitan kematian arwah Zara kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) kelmarin dan arahan berhubung perkara tertentu untuk dilengkapkan sebelum tindakan lanjut diambil,” katanya dalam sebuah kenyataan, di sini, hari ini.
Selain itu, peguam turut memberitahu bahawa selepas penyerahan semula laporan kertas siasatan itu, beberapa usaha lain turut dilakukan seperti yang dimohon menerusi surat, yang dihantar kepada Peguam Negara, Tan Sri Mohd Dusuki Mokhtar.
“Ini salah satu daripada empat perkara yang kami mohon dalam surat bertarikh 5 Ogos 2025 kepada Peguam Negara, Tan Sri Mohd Dusuki Mokhtar.
“Kami harap, tiga perkara yang telah dimasukkan dalam arahan yang dimaksudkan, seperti penyiasatan dilakukan oleh pegawai penyiasat berpengalaman dari Bukit Aman, gali semula kubur Zara agar satu bedah siasat dilakukan bagi menentukan punca sebenar kematian, dan inkues diadakan untuk menentukan kebenaran andai wujud unsur jenayah dalam kematian arwah Zara,” jelasnya.
