Oleh: Sumayyah Rihanna
KOTA KINABALU: Exco Pemuda Barisan Nasional Malaysia, Datuk Seri Dr. Anil Sandhu membidas kenyataan Naib Presiden Parti Bersatu Sabah (PBS), Datuk Arthur Sen yang mencabar Ketua UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin, supaya mengisytiharkan Barisan Nasional (BN) akan bertanding secara solo dalam Pilihan Raya Negeri Sabah akan datang.
Anil yang juga Bendahari Pemuda UMNO Sabah dan Ketua Pemuda UMNO Lahad Datu berkata, Arthur dan sekutu politiknya sepatutnya menumpukan perhatian kepada urusan dalaman parti masing-masing dan tidak mencampuri hal ehwal UMNO Sabah.
“Tindakan mencetuskan kenyataan yang boleh menimbulkan persepsi negatif hanya akan mengeruhkan lagi suasana politik semasa,” katanya dalam satu kenyataan media, di sini, hari ini.
Menurut beliau, semua pihak masih berada dalam kerangka Kerajaan Perpaduan MADANI dan sebarang kenyataan perlu dibuat secara bertanggungjawab dengan mengambil kira kestabilan politik negara, khususnya ketika suhu politik sedang panas.
“Tidak perlu lagi mengipas bara yang sedang membara, kerana yang rugi akhirnya adalah rakyat,” tegas beliau.
Anil turut menegaskan bahawa UMNO Sabah memiliki kuasa autonomi, dan segala keputusan parti dibuat oleh pimpinan tertinggi yang dipimpin Bung.
“Kami di peringkat Pemuda UMNO Sabah kekal taat dan akur kepada keputusan yang dibuat oleh pimpinan, sama ada di peringkat negeri mahupun pusat,” katanya.
Sehubungan itu, beliau menyeru semua pihak agar menghentikan kenyataan bersifat provokasi dan sebaliknya memberi tumpuan kepada usaha memperkukuh parti masing-masing serta mendekati rakyat dengan kerja nyata.
“Cukup-cukuplah bermain api politik, sekarang masanya untuk bekerja demi rakyat Sabah dan Malaysia,” ujar beliau lagi.
