UMNO Sabah ada hala tuju: Bung Moktar

KOTA KINABALU: Ketua UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin menegaskan bahawa parti itu komited dalam usaha memperjuangkan Sabah dan mempunyai hala tuju.

“Saya membaca kenyataan kelakar Naib Presiden PBS, Arthur Sen, yang cuba mencabar dan memperlekeh autonomi UMNO Sabah dalam isu kerjasama pilihan raya. 

“Untuk rekod, kenyataan beliau tidak diperlukan, tidak relevan, dan tidak memberi apa-apa nilai tambah kepada proses politik matang yang sedang UMNO-BN usahakan di Sabah.

“UMNO-BN Sabah berautonomi, ya, tetapi kita juga matang. Kita faham makna perpaduan, bukan sekadar di peringkat persekutuan tetapi juga di negeri dan kita tidak gelojoh mengumumkan sesuatu tanpa strategi,” katanya. 

Beliau berkata demikian dalam sebuah kenyataan media, di sini, hari ini.

Menurut Bung, UMNO juga tidak bermain emosi dan mudah panik dengan situasi mendadak yang berlaku.

“Kita tidak terikut-ikut rentak panik pihak lawan yang baru semalam bertengkar, hari ini bergambar bersama, esok kembali saling menikam.

“Arthur Sen, seorang pemimpin yang kurang dikenali, tiba-tiba mahu menjadi pensyarah strategi kepada UMNO? Ini bukan sahaja kelakar, tetapi menunjukkan satu lagi simptom penyakit politik Sabah iaitu parti kecil suka menumpang tapi mahu mengarah.

“UMNO-BN tahu apa yang perlu dibuat dan kami tidak perlu mana-mana pihak, termasuk PBS yang sedang ‘menyewa ruang’ dalam GRS, untuk memberi cabaran atau memberi nasihat tidak diminta,” katanya lagi.

Tegas Bung, UMNO juga mempunyai pendirian dan tahu bila untuk bertindak, dengan siapa perlu bekerjasama, dan bila masanya untuk berdiri sendiri.

“Dan sejak awal, pendirian kami konsisten kami tidak akan bekerjasama dengan parti yang tidak bermaruah, tidak ikhlas dan punya sejarah mengkhianati rakan seperjuangan.

“UMNO Sabah sudah cukup pengalaman ditikam dari belakang. Dan kali ini, kami tidak akan berpaling lagi.

“Arthur Sen boleh terus bercakap di Facebook. Kami di UMNO-BN bergerak di lapangan. Kami membina jentera, kami menyiapkan calon, kami menyiapkan naratif bukan sekadar bermain persepsi murahan di media sosial,” jelasnya lagi.

Dalam pada itu, Bung juga memberitahu bahawa UMNO sentiasa bersedia dan tidak mudah digertak.

“Kami tidak ‘merajuk’ dan tidak ‘menggertak’, sebalikya sedang bersedia.

“Sabah di bawah GRS adalah bukti betapa rakyat diperdaya oleh slogan. Air bersih gagal diselesaikan. Bekalan elektrik terus menjadi mimpi ngeri bukan sahaja di pedalaman malah di bandar.

“Jalan raya tidak berubah malah lebih teruk. Ekonomi rakyat lesu, pelaburan luar menjauh, anak muda terus keluar berhijrah,” katanya. 

Tegas Bung, UMNO-BN Sabah sentiasa percaya kepada kekuatan parti dan berpegang kepada mandat rakyat.

Tinggalkan komen