Henti spekulasi cerita mesin basuh, salur maklumat terus kepada polis: Peguam

KOTA KINABALU: Peguam kepada Noraidah Lamat, ibu kepada arwah Zara Qairina Mahathir, meminta semua pihak untuk berhenti membuat spekulasi dan andaian sendiri, termasuk dakwaan bahawa arwah Zara dimasukkan ke dalam mesin basuh.

Peguam Hamid Ismail dan Shahlan Jufri berkata, semua kenyataan berkaitan kes selepas tular beberapa video dan gambar arwah Zara adalah bersifat andaian atau spekulasi semata-mata.

“Selepas tular beberapa video dan gambar berkaitan kes kematian Zara Qairina, maka timbul video seorang wanita.

“Wanita itu menceritakan perihal Zara yang dimasukkan ke dalam mesin basuh dan kami tegaskan, ini adalah satu spekulasi. 

“Anak guam kami, yang juga ibu kepada arwah Zara, sama sekali tidak pernah memberi maklumat sedemikian kepada sesiapa,” katanya dalam sebuah kenyataan di sini, hari ini.

Peguam meminta agar sebarang maklumat berkaitan kes diberikan terus kepada pihak polis untuk siasatan lanjut.

“Kita minta agar wanita tersebut salurkan maklumat yang ada kepada pihak polis untuk tujuan siasatan,” katanya lagi.

Selain itu, peguam turut memberitahu bahawa gambar kronologi arwah Zara dibawa ke Hospital Queen Elizabeth I (HQEI) juga adalah sebuah spekulasi.

“Maklumat kronologi itu bukan daripada anak guam kami, ini juga spekulasi,” katanya. 

Terdahulu, sebuah video yang memaparkan seorang wanita menceritakan kejadian malang yang berlaku pada arwah Zara tular di laman media sosial.

Wanita itu menceritakan bahawa arwah Zara dimasukkan ke dalam mesin basuh serta dikaitkan dengan kejadian buli di sekolah.

Video itu menari perhatian ramai netizen sekaligus mengundang rasa marah orang ramai.

Tinggalkan komen