Oleh: Sumayyah Rihanna
LAHAD DATU: Seorang lelaki dijatuhi hukuman penjara lima tahun oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini selepas mengaku bersalah atas pertuduhan mengugut untuk membunuh bapa kandungnya menggunakan parang.
Majistret Nur Asyraf Zolhani menjatuhkan hukuman itu terhadap tertuduh, Azizan Azman Lee, selepas mendengar pengakuan dan fakta kes yang dibentangkan oleh Pegawai Pendakwa, Inspektor Sitti Zubaeda M Kasim.
Menurut fakta kes, insiden berlaku pada 30 Julai lalu kira-kira pukul 6.15 petang di rumah mangsa.
Tertuduh dilaporkan mengamuk dan membuat bising sambil memegang parang.
Ketika ditegur, dia bertindak mengeluarkan kata-kata ugutan “aku selasing daddy” yang menyebabkan mangsa ketakutan kerana tertuduh pernah ditahan atas kesalahan serupa sebelum ini.
Insiden turut disaksikan oleh cucu mangsa yang berada di lokasi kejadian.
Difahamkan, tindakan tertuduh berpunca daripada rasa tidak puas hati selepas mengetahui gitar yang dihadiahkan kepadanya oleh mangsa telah dipinjamkan kepada cucu mangsa yang sedang melanjutkan pelajaran dalam bidang muzik di Kota Kinabalu.
Siasatan juga mendedahkan bahawa tertuduh tidak mempunyai pekerjaan dan mempunyai beberapa rekod jenayah serta dadah.
Hasil ujian saringan air kencing turut menunjukkan tertuduh positif dadah jenis metafetamin dan amfetamin.
Mahkamah memerintahkan hukuman penjara lima tahun bermula dari tarikh tangkapan.
