Tidak wajar haram menyeluruh, boleh luaskan cukai prokesihatan

KOTA KINABALU: Usaha perluasan cukai prokesihatan untuk produk rokok elektronik dirasakan wajar sebagai pendekatan untuk mengawal penggunanyn berbanding larangan haram secara menyeluruh.

Pengarah Nanostix Innovations Sdn. Bhd. Shahabudeen Jalil, berkata usaha itu wajar kerana memelihara kelangsungan industri tempatan yang sah serta bertanggungjawab, sekaligus menjaga kesihatan orang ramai.

“Walaupun pengenalan cukai ini memang akan memberi kesan terhadap harga produk dan operasi pengeluar, kita yakin dan percaya bahawa langkah ini adalah pendekatan kawalan yang lebih wajar, inklusif dan progresif berbanding larangan secara menyeluruh,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sebuah kenyataan media, di sini, hari ini.

Baru-baru ini, Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad berkata pihaknya mempertimbang larangan penuh kepada penjualan dan penggunaan vape serta rokok elektronik, tetapi usaha itu masih memerlukan beberapa pertimbangan seperti implikasi undang-undang, penguatkuasaan, dan kesihatan awam.

Selain itu, beberapa Kerajaan Negeri turut mengambil langkah pengharaman penuh penjualan vape seperti negeri Perlis, Terengganu, Kedah, dan Pahang.

Dalam pada itu, negeri Johor dan Kelantan pula menguatkuasakan larangan penjualan produk tersebut masing-masing sejak tahun 2016 dan 2015.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim semasa membentangkan Rancangan Malaysia ke-13 (RMK13) Jumaat lalu juga menjelaskan bahawa kerajaan akan berusaha memperluas cukai prokesihatan kepada produk seperti tembakau, vape dan alkohol, bagi tujuan membendung penyakit tidak berjangkit (NCD) seperti diabetes.

Katanya, langkah itu adalah bukti ketegasan kerajaan dalam usaha menangani risiko kesihatan.

Selain itu, Shahabudeen turut menggesa pihak kerajaan agar menyelaraskan dasar berkaitan rokok elektronik susulan kenyataan yang bercanggah antara Perdana Menteru dan Menteri Kesihatan.

“Ini yang menimbulkan kekeliruan dalam industri sebenarnta,” katanya. 

Jelas beliau, dasar tidak menentu itu cuma akan memburukkan industri vape, menyukarkan pelaburan dan merencatkan perancangan jangka panjang.

“Kekeliruan juga timbul bila ada perbezaan pendekatan antara Kerajaa Persekutuan dan Kerajaan Negeri, yang sudah pun mengambil langkah untuk mengharamkan penjualan vape.

“Ketidaksepadanan dasar ini juga menimbulkan kekeliruan yang ketara dalam kalangan pengusaha industri, selain daripada membingungkan pengguna,” katanya lagi.

Beliau turut menegaskan bahawa masalah utama yang perlu diberi tumpuan adalah lambakan produk vape haram dan tiruan di pasaran.

“Ini yang menyebabkan kehilangan hasil kepada negara kerana mereka ini tidak mematuhi piawaian keselamatan, tidak dikenakan cukai serta membawa risiko kesihatan lebih tinggi kepada pengguna.

“Saya ingin nyatakan, sesungguhnya larangan menyeluruh bukan cuma mengancam kelangsungan periuk nasi usahawan dan syarikat tempatan yang beroperasi secara sah, sebaliknya akan ada pihak tidak bertanggungjawab akan mengambil kesempatan dari situasi, serta membuka laluan kepada pasaran gelap yang lebih rancak,” ujar beliau lagi.

Tinggalkan komen