KOTA KINABALU: Sebanyak RM28 juta tajaan pendidikan disampaikan oleh PETRONAS kepada lebih 100 pelajar cemerlang dari Sabah, di bawah program Memperkasakan Ilmu.
Pelajar-pelajar lepasan SPM 2024 yang terpilih itu datang daripada pelbagai latar belakang itu, menerima tajaan penuh untuk melanjutkan pengajian dalam bidang seperti kejuruteraan kimia, kejuruteraan petroleum, kejuruteraan mekanikal, pemasaran, serta kursus-kursus lain
yang relevan di Universiti Teknologi PETRONAS dan institusi pengajian tinggi terkemuka tempatan serta antarabangsa di United Kingdom, Australia, Jepun, dan Korea Selatan.
“Proses pemilihan dilakukan secara teliti daripada hampir 9,000 permohonan yang diterima dari seluruh negara, berdasarkan kecemerlangan akademik, potensi kepimpinan serta penglibatan aktif dalam aktiviti kokurikulum,” katanya dalam sebuah kenyataan media, di sini, hari ini.
Majlis penyampaian tajaan disempurnakan oleh Speaker Dewan Undangan Negeri Sabah Datuk Seri Kadzim M Yahya, mewakili Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Hajiji Noor, diiringi Naib Presiden Kanan Pengurusan Petroleum Malaysia, PETRONAS, Datuk Ir Bacho Pilong.
Dalam ucapannya, Hajiji mengucapkan terima kasih dan tahniah kepada PETRONAS kerana terus komited dalam membangunkan modal insan di Sabah melalui program-program pendidikan dan latihan kemahiran yang berkualiti.
“Kerajaan Negeri melalui Pelan Pembangunan Sabah Maju Jaya 1.0 memberikan penekanan yang serius kepada pembangunan modal insan.
“Saya yakin dengan melabur dalam
pendidikan dan pembangunan belia Sabah, PETRONAS turut membantu negeri ini membina asas masa depan yang lebih berdaya tahan, berdaya saing dan inklusif.
“Menerusi usaha berterusan ini, kita dapat melihat lebih ramai anak-anak Sabah memasuki bidang kemahiran
seterusnya membantu dalam pembangunan negeri ini,” katanya lagi.
Selain tajaan pendidikan peringkat ijazah, majlis tersebut turut meraikan 20 penerima tajaan baharu bagi kursus Diploma Kemahiran Malaysia dalam bidang Instrumentasi dan Kawalan Industri di Pusat Latihan Petroleum Kimanis (KTC).
Majlis turut menyaksikan penyerahan pengiktirafan rasmi Kod Amalan Pentauliahan Program TVET (COPTPA) daripada Jabatan Pembangunan Kemahiran kepada KTC bagi kursus diploma yang ditawarkan.
“Pengiktirafan ini membuktikan bahawa latihan kemahiran yang ditawarkan KTC memenuhi piawaian kebangsaan dan kehendak industri.
“PETRONAS turut memperluas akses pendidikan peringkat menengah melalui penyampaian Biasiswa Kecil PETRONAS kepada 29 lagi pelajar Sabah bagi sesi 2025/2026 menjadikan jumlah keseluruhan penerima tahun ini seramai 40 orang.
“Sejak diperkenalkan pada tahun
2023 menerusi kerjasama antara PETRONAS Floating LNG, Jabatan Pendidikan Negeri Sabah, dan Yayasan Sabah, sejumlah 120 pelajar telah menerima manfaat daripada inisiatif itu,” katanya lagi.
Dalam pada itu, sebagai anak jati Sabah, Ir Bacho berbangga melihat generasi muda negeri ini terus melangkah ke hadapan dengan lebih yakin serta mendapat pengiktirafan atas usaha dan
pencapaian mereka.
“PETRONAS percaya bahawa pendidikan adalah pelaburan paling berharga dan
ia membentuk pemikiran, membina jati diri, seterusnya membuka jalan ke arah pembangunan negeri yang lebih makmur.
“PETRONAS beriltizam untuk terus menyokong aspirasi Sabah ke
arah membina masa depan yang inklusif dan mampan,” katanya.
Sejak 1975, lebih 40,000 pelajar di seluruh negara telah menerima tajaan pendidikan
PETRONAS.
Di Sabah, PETRONAS giat melaksanakan pelbagai inisiatif pendidikan dan latihan kemahiran bagi memperluas akses kepada pendidikan berkualiti serta membina
kapasiti tenaga kerja tempatan yang berdaya saing.
“PETRONAS akan terus berganding bahu dengan Kerajaan Negeri Sabah dan rakan-rakan strategik lain dalam memacu pembangunan modal insan demi masa depan negeri yang lebih makmur, inklusif dan mampan,” ujar beliau lagi.
