Oleh: Sumayyah Rihanna
LAHAD DATU: Polis berjaya memberkas dua lelaki yang dipercayai terlibat dalam kes curi motosikal Yamaha Y15ZR milik seorang wanita di kawasan parkir Perumahan Pekerja Ladang Sebrang, Jalan Silabukan, pada 23 Julai lalu.
Ketua Polis Daerah Lahad Datu, ACP Dzulbaharin Ismail berkata, tangkapan dilakukan hasil risikan malam tadi, pukul 10.50 malam di Jalan Tengah Nipah, Bandar Lahad Datu.
“Siasatan mendapati suspek pertama, warganegara tempatan berusia 29 tahun mempunyai tiga rekod lampau berkaitan dadah, manakala suspek kedua, warga asing berumur 36 tahun tidak memiliki dokumen pengenalan diri,” katanya.
Kedua-dua suspek kini direman untuk siasatan mengikut Seksyen 379A Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tujuh tahun dan denda jika disabitkan kesalahan.
Permohonan reman telah dibuat di Mahkamah Majistret Lahad Datu hari ini dan siasatan lanjut masih diteruskan bagi mengenal pasti penglibatan suspek dalam kes lain.
