Oleh: Sumayyah Rihanna
LAHAD DATU: Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi menyarankan agar UMNO Sabah mempersiap minda untuk membuka pintu kepada sebarang bentuk kerjasama sama ada dengan parti sahabat mahupun seteru bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-17, kali ini.
“Kita beri autonomi kepada UMNO Sabah sepenuhnya, untuk mencari dan menjalin kerjasama sama ada sebelum atau selepas PRN17, bagi tujuan membentuk Kerajaan Negeri yang stabil.
“Tiada dominan yang akan membentuk kerajaan secara sendirian. Maka, saranan kita ialah supaya wujudkan kerjasama, baik sebelum atau selepas PRN17,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika ditemui selepas merasmikan Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Lahad Datu, di sini, hari ini.
Menurut Zahid, usaha utama parti itu adalah untuk menstabilkan politik negeri Sabah dan menyelesaikan masalah asas yang dihadapi rakyat.
“Kita mahu Sabah jadi sebuah negeri yang stabil politiknya, kemajuan dapat terus dibawa ke sini, terutamanya usaha menyelesaikan masalah-masalah asas yang menjadi keperluan rakyat Sabah.
“Untuk itu kita bagi autonomi kepada UMNO dan BN Sabah, semoga dapat menjalinkan kerjasama secara bijaksana dengan lain-lain gabungan atau gagasan,” jelasnya.
Hadir sama, Ketua UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin.
