KOTA KINABALU: Kerajaan Negeri kekal komited dalam usaha untuk memperkukuh sektor pertanian sebagai penggerak utama bagi usaha membangun dan mengekalkan tahap keselamatan makanan.
Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor berkata sektor pertanian menyumbang RM12.2 billion atau 14.5 peratus kepada Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) Sabah, sekaligus menjadikannya sebagai sektor ketiga terbesar untuk ekonomi negeri.
“Untuk memajukan lagi keupayaan kita dalam memastikan kelangsungan makanan, kerajaan turut berusaha untuk memperkasa Lembaga Beras dan Padi Sabah (LPBS) tahun lalu dengan sasaran menambah pengeluaran sehingga 30 peratus menjelang tahun 2026 dan 60 peratus pada 2030,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa hadir dalam Majlis Penutupan Hari Peladang, Penternak dan Nelayan Kebangsaan (HPPNK) 2025 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) di sini, hari ini.
Majlis itu disempurnakan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim
Dalam pada itu, Hajiji turut menjelaskan peranan teknologi seperti Internet Benda (IoT) dan perladangan pintar dengan memodenkan sektor pertanian serta menarik minat generasi muda.
“Setakat ini, Sabah sudah mengeluarkan lebih 1,494 juta tan metrik makanan dan menjana pulangan lebih RM4.32 juta.
“Selain itu, Sabah juga sedang membangunkan pelabuhan pendaratan ikan laut dalam dan tuna yang bernilai RM360 juta di Kota Kinabalu.
“Kita jangka kita mampu mendaratkan lebih 50,000 tan tuna sekaligus menyokong anggaran nilai ekonomi RM1.8 billion setiap tahun,” katanya lagi.
